Carian
Kenderaan Uber Akan Dihalang Dari Memperbaharui Cukai Jalan OIeh JPJ
October 5, 2015 Effi Saharudin

Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan Uber akan diharamkan dari memperbaharui cukai jalan mulai hari ini. Ini adalah antara langkah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) untuk membanteras perkhidmatan Uber yang dikatakan melanggar undang-undang. SPAD kini melihat pengekalan data kenderaan yang menawarkan perkhidmatan Uber. Mereka kemudian melakukan intipan sebelum mengumpul bukti gambar dan video kenderaan-kenderaan ini telah digunakan untuk membawa penumpang. Notis kemudian akan dihantar kepada pemilik untuk menghadiri temuduga bagi membantu siasatan. Kenderaan kemudian mungkin disita kerana melanggar Seksyen 225 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

UberX KL

Dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemilik yang degil akan dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka. Mereka tidak boleh lari dari diambil tindakan undang-undang kerana bukti sudah terkumpul. Sejak kebelakangan ini pihak SPAD semakin serius dalam membanteras perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar. Tindakan mula diambil setelah pemandu teksi melakukan protes besar-besaran terhadap perkhidmatan membawa penumpang yang dikatakan menjejaskan periuk nasi mereka.

Kami hanya berharap pihak SPAD dan JPJ akan turut meningkatkan pemantauan teksi Lembah Klang yang turut terkenal dengan memandu seperti tiada pedoman, kenderaan yang kotor, memukul penumpang dan paling penting sekali enggan menggunakan meter. Mereka harus adil dan menyedari mengapa Uber dan GrabCar menjadi pilihan warga kota walaupun mereka diklasifikasikan sebagai perkhidmatan awam yang haram.

Komen