Cari @ Amanz

Tidak pasti apakah sebabnya, kos pembelajaran semakin hari semakin meningkat tinggi. Mungkin ia bukan satu masalah bagi pembelajaran pada tahap sekolah rendah dan menengah untuk sekolah-sekolah kerajaan, tetapi bagi peringkat atasan seperti kolej-kolej swasta dan universiti yang menawarkan kursus dari luar negara, kosnya mungkin tinggi.

sf-iconBagi mengatasi masalah tersebut, pelajar boleh memohon skim pinjaman pembelajaran yang disediakan kerajaan, atau skim pinjaman yang diuruskan sendiri oleh pusat pembelajaran mereka. Biasiswa juga merupakan satu pilihan jika pelajar tersebut cemerlang dari segi akademik. Namun begitu kesemua pilihan ini terdapat keterbatasannya, seperti bilangan pelajar yang memohon, usia pelajar sewaktu memohon dan sebagainya. Kadangkala, keputusan yang cemerlang juga tidak menjanjikan tempat untuk biasiswa jadi masalah kekurangan dana dikalangan pelajar sememangnya satu masalah yang meruncing dan sering dihadapi mereka.

Dalam mengurangkan kos yang yang ditanggung pelajar, Skolafund telah ditubuhkan oleh Tengku Ahmad Syamil dan Syakir serta rakan-rakan bagi menghadapi masalah sebegini. Idea penubuhan Skolafund bagaimanapun diperoleh sewaktu rakan mereka menghadapi masalah untuk membayar kursus pembelajaran mereka dan sewaktu itu dana yang dipinta telah dapat dikumpulkan menerusi penyebaran mesej di laman sosial. Menyedari terdapatnya keperluan untuk menyelesaikan masalah pelajar yang kekurangan dana, nama Skolafund telah dicanang sebagai penyelesaian masalah ini.

Berkongsi mengenai Skolafund, sewaktu awal penubuhannya Syamil menyatakan hasil dari masalah rakan mereka, salah satu cara perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut. Pelajar yang popular atau dikenali ramai mungkin tiada masalah dalam tujuan mempromosi kempen tersebut bagi mendapatkan dana, namun dengan pelajar yang mungkin tidak mempunyai akses internet atau pelajar yang tidak boleh berkongsi kesusahan yang dihadapi mereka mungkin tidak mampu mendapatkan dana yang lebih. Dengan Skolafund, lebih banyak pelajar yang memerlukan dana dapat diketengahkan, sekaligus membantu mereka dalam pembelajaran.

Sehingga kini tiada sebarang dana diperoleh untuk startup Skolafund

Projek yang telah bermula pada bulan April walaubagaimanapun masih berada dalam status Beta lagi sehingga ke hari ini dan sewaktu ia baru bermula, ia lebih kepada idea. Menurut Syamil, ramai yang berminat dengan Skolafund dan memberikan dana kepada pelajar-pelajar yang disenaraikan. Terdapat juga beberapa cabaran dan stigma dikalangan pelawat Skolafund. Rata-rata penggunanya juga menanyakan langkah diambil oleh Skolafund untuk memastikan status pelajar tersebut adalah sahih dan bukan seseorang yang menyamar sebagai pelajar, bagi mendapatkan durian runtuh dari penderma.

Jelas Syamil, pelbagai langkah diambil mereka dan langkah terutama adalah pengesahan dari pusat pembelajaran pelajar tersebut yang mengatakan pelajar tersebut masih lagi belajar. Dana yang dipohon pelajar juga pelbagai, kadang-kala meliputi dana buku, atau yuran pembelajaran. Kesemua ini akan disemak-semula dengan pusat pembelajaran bagi mengelakkan sebarang penipuan.

screenshot_565Sehingga kini terdapat 53 permohonan oleh pelajar yang memerlukan dana menerusi Skolafund. Dari 53 permohonan tersebut, hanya 12 permohonan yang telah dibenarkan untuk tujuan pendanaan. 6 pelajar telah berjaya menerima dana umum yang dipinta manakala 4 pelajar pula tidak memperoleh dana yang disasarkan. Dana tertinggi yang diperoleh pula sebanyak RM 8,000 untuk 1 pelajar. Untuk versi Beta terbaru mereka yang baru dilancarkan minggu ini, 2 pelajar sedang mencari dana dan menariknya kini pengguna boleh membayar secara terus kepada pihak Universiti, sekaligus mengurangkan risiko sekiranya pelajar memperdayakan penderma.

Untuk versi terbaru ini juga terdapat pilihan pembayaran melalui Maybank, CIMB, dan juga RHB, berbanding dengan PayPal pada versi alpha mereka. Meskipun pada tempoh pengujian alpha, mereka masih berjaya mengumpulkan dana sehingga RM 25,000, turut mengisyaratkan adanya minat dan permintaan dari penderma yang bersungguh ingin membantu pelajar yang memerlukan dana.

Seperti projek-projek berasaskan sokongan komuniti yang lain, perkara yang kritikal buat Skolafund adalah sokongan daripada masyarakat dan juga pihak berwajib. Apa yang menjadi sedikit ironi dan cabaran adalah Skolafund juga tidak menerima sebarang dana sehingga kini. Buat masa ini tiada sebarang pelaburan yang diterima Skolafund memandangkan pendapat pelabur terhadap corak perniagaan sebegini yang berasaskan pembangunan sosial dan kebiasannya pembangunan sosial tidak mendatangkan keuntungan yang cepat dan besar dari segi wang ringgit. Berikutan ketiadaan dana dan juga pelaburan, mereka juga turut merancang untuk mengenakan caj minimal untuk setiap kempen pendanaan yang berjaya bagi memastikan kemandirian startup ini.

Untuk masa akan datang, Syamil berharap sokongan komuniti dan sesiapa sahaja untuk Skolafund akan bertambah lagi kerana tanpa sokongan dari komuniti, pelabur serta pihak berwajib, banyak pelajar yang kurang berkemampuan tidak dapat dibantu bagi meneruskan pembelajaran mereka.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd