Carian
Bateri Bertahan Lama Dengan Mempelajari Tabiat Anda Sedang Dibangunkan Microsoft
October 6, 2015 Effi Saharudin

Teknologi bateri tidak mempunyai hukum Moore dan ini menyebabkan ketahanan bateri tidak dapat menyaingi keperluan peranti yang semakin berkuasa dan memerlukan tenaga yang banyak. Peranti kehabisan bateri saat diperlukan masih lagi masalah biasa yang kita lalui setiap hari. Teknologi pengecasan pantas sudah mula digunakan tetapi ianya masih terhad kepada beberapa peranti. Ia popular di kalangan peranti pintar tetapi tidak wujud pada komputer riba. Teknologi baru yang memastikan bateri bertahan sepanjang hari kini sedang dibangunkan oleh Microsoft.

Software-Defined-Battery-Mixrosoft

Software Defined Battery (SDB) ialah projek yang cuba memintarkan bateri. Bateri yang kini diuji pada sebuah komputer riba akan mempelajari tabiat harian anda. Beberapa bateri berbeza digunakan di dalam SBD yang hanya akan digunakan bergantung kepada perisian yang digunakan. Apabila ia mengesan anda menggunakan aplikasi Office misalnya bateri yang berkuasa rendah akan digunakan. Sebaliknya berlaku sekiranya anda melakukan suntingan video menggunakan Premiere Pro. Bateri berbeza yang digunakan akan dicas secara automatik mengikut tabiat anda.

Sekiranya ia tahu anda lebih banyak menggunakan Office, bateri ini akan diutamakan untuk dicas dan bukannya bateri sekunder. Perisian  SDB akan sentiasa mempelajari tabiat anda melalui Machine Learning dan akan berubah pola pengecasan sekiranya anda turut mengubah tabiat. Teknologi SDB ini mempunyai aplikasi selain di pada komputer riba. Di masa hadapan kesemua bateri yang anda gunakan akan mempunyai fungsi ini bagi mengoptimasikan penggunaan tenaga yang disimpan. Ini akan membuatkan peranti pintar, komputer riba,  kenderaan elektrik dan juga rumah anda lebih bijak menggunakan tenaga seterusnya mengurangkan bil elektrik bulanan.

Komen