Cari @ Amanz

Telefon mudah alih pertama dengan kamera adalah Sharp J-SH04 yang dilengkapi kamera utama sebesar 0.11 Megapixel. Ia muncul pada tahun 2000. Telefon mudah alih pertama dengan kamera hadapan pula ialah Sony Ericsson Z1010 yang mempunyai kamera hadapan sebesar 0.3 Megapixel. Peranti yang muncul pada tahun 2004 ini dilengkapi kamera hadapan bagi membolehkan panggilan video dilakukan. Pada waktu itu panggilan video adalah fungsi terbaru yang diperkenalkan pada peranti mudah alih yang menggunakan rangkaian 3G.

Sebelas tahun telah berlalu dan kini kita tahu bahawa panggilan video tidak lagi popular. Kamera hadapan yang dahulunya hanya digunakan untuk panggilan video kini hidup mempunyai fungsi baru mengambil gambar selfie. Tidak seperti panggilan video, selfie semakin popular dari tahun ke tahun dan kamera hadapan peranti kini mempunyai saiz sensor yang semakin besar. Keperluan mengambil gambar selfie yang baik ini menjurus kepada wujudnya Asus Zenfone Selfie. Ia sebuah peranti pintar yang mempunyai kamera hadapan sebaik kamera belakang dan turut mempunyai fungsi flash. Adakah peranti pintar dengan kamera hadapan besar ini akan menjadi fungsi wajib pada kesemua peranti? Ulasan ini akan menjawab persoalan anda.

Spesifikasi

Asus Zenfone Selfie
Skrin 5.5 IPS LCD FHD (403 PPI)
Pemproses 1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel Laser. f/2.0 Flash
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0 Flash
Bateri 3000 mAh/ Tiada pengecasan pantas
SIM/Telefoni Dwi SIM Mikro / 4G
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1049

Tahun 2015 ialah tahun yang agresif bagi Asus dalam penghasilan peranti baru. Peranti pintar mereka yang dahulunya agak tenggelam di dalam pasaran yang semakin sibuk ini kini mula dipromosikan secara meluas. Peranti keluarga Zenfone memasuki pasaran sebagai peranti kelas pertengahan dengan harga yang kompetitif.

Zenfone Selfie meneruskan rekaan yang kita lihat sebelum ini pada Zenfone 2. Skrin masih lagi sebesar 5.5″ dengan resolusi HD penuh. Perbezaan dilakukan pada dua kamera dan pemproses. Kamera belakang 13 Megapixel yang ada pada Zenfone 2 kini dilengkapi sistem pemfokusan laser yang pantas. Pada bahagian hadapan kamera yang sama digunakan cuma tanpa sokongan pemfokusan laser. Kedua-duanya juga menggunakan lensa f/2.0 dengan flash dwi-tona terbina. Dengan saiz kamera hadapan yang besar, ia mampu mengambil gambar selfie pada resolusi yang lebih baik berbanding sebilangan besar peranti utama yang ada di pasaran sekarang.

Pemproses Intel Zenfone 2 digantikan dengan pemproses lapan teras Snapdragon 615. Pemproses ini adalah pemproses yang sangat popular untuk peranti kelas pertengahan sekarang. Ada beberapa kebaikan dan juga keburukan dengan pertukaran pemproses ini. Kebaikannya ialah senarai aplikasi bermasalah berkurangan. Pemproses Intel kerap mengalami masalah dengan aplikasi Android. Masalah aplikasi terhenti atau gagal berfungsi dengan lancar adalah perkara biasa. Pembangun aplikasi lebih menumpukan peranti yang menggunakan pemproses Qualcomm. Seperti yang kami katakan pada ulasan Zenfone 2 tempohari, hayat bateri peranti tersebut adalah agak mengecewakan. Ia mungkin mempunyai kuasa yang tinggi tetapi menyebabkan bateri peranti menjadi agak pendek. Pemproses Snapdragon 615 mungkin tidak setanding Intel Atom, tetapi sekurang-kurangnya peranti anda dapat bertahan dengan lebih lama.

Bateri masih lagi sebesar 3000 mAH cuma kali ini ia boleh ditanggalkan. Tiada ada panel plastik yang menghalang bateri dari diakses oleh pengguna. Perubahan seterusnya ialah tiada sokongan pengecasan pantas seperti yang wujud pada Zenfone 2

Rekaan

Asus Zenfone Selfie

 

Dari segi rekaan pula ia masih mengekalkan bahan binaan plastik. Ini dilakukan bagi mengurangkan harga peranti. Adakah Zenfone Selfie peranti yang cantik untuk dilihat? Secara ikhlas jawapannya ialah tidak. Kamera gergasi pada bahagian depan membuatkannya kelihatan seperti seekor Cyclops. Rekaan keluarga Zenfone mementingkan keselesaan dari rupa. Apa yang kami maksudkan di sini ialah ia tidak kelihatan secantik peranti lain tetapi ianya selesa dipegang serta digunakan.

Asus Zenfone Selfie -IMG_0425Panel belakang melengkung dan mengikut kontur telapak tangan. Apabila digenggam ianya tidak mencengkam telapak tangan dan amat selesa digunakan untuk masa yang lama. Butang kawalan suara yang juga terletak di bahagian belakang adalah ergonomik. Mengubah kekuatan suara lebih mudah dilakukan kerana jari telunjuk boleh digunakan untuk melakukan aksi ini. Peranti akan sentiasa digenggam erat dan selamat. Ini adalah pujian yang sama kami berikan kepada Zenfone 2 dan LG G3 Stylus sebelum ini. Kedudukan butang kuasa pada bahagian atas mungkin dianggap aneh tetapi peranti ini menyokong dwi-tap untuk menghidupkan dan mematikan skrin maka isu sukar diakses tidak wujud. Jack fon kepala 3.5mm juga terletak di bahagian atas manakala port pengecas MikroUSB terletak di bahagian bawah.

Pada bahagian belakang terdapat sebuah pembesar suara mono. Kekisi pembesar suara pada bahagian belakang adalah panjang namun saiz pembesar suara sebenar adalah kecil. Apabila panel plastik dibuka saiz pembesar suara adalah sama dengan Zenfone 2. Bercakap tentang panel belakang, ianya amat sukar untuk dibuka dan perlu dikupil dengan keras. Sekiranya ada kerap menukar SIM, kami sarankan anda membela kuku yang panjang untuk memudahkan proses membuka penutup belakang Zenfone Selfie. Selain pembesar suara dua slot SIM Mikro dan satu slot kad MikroSD juga boleh dilihat apabila panel penutup dibuka.

Zen UI

Asus-Zenfone-2-screen-1Zenfone 2 menggunakan Android 5.0 dengan antaramuka Zen UI. Antaramuka ini membenarkan pengguna melakukan pelbagai kustomasi dan juga fungsi tambahan yang tiada pada Android Vanilla.

Kami ada mengatakan lokasi butang kuasa peranti ini terletak pada bahagian atas. Ini adalah sukar untuk diakses dengan sebelah tangan. Zen UI menyokong fungsi dwi-tap yang membolehkan skrin diaktifkan atau dimatikan dengan menekannya sebanyak dua kali. Dari skrin yang ditutup anda turut boleh melancarkan beberapa aplikasi kegemaran dengan melukis beberapa bentuk di atas skrin. Ini adalah fungsi yang serupa seperti yang boleh ditemui pada peranti buatan Color OS Oppo. Sebagai contoh melukis hurup W pada skrin yang tidak aktif boleh digunakan untuk melancarkan Chrome secara automatik.

Aplikasi kamera juga boleh dilancarkan serta merta dengan melakar huruf “C” pada skrin yang tertutup. Kesemua pintasan pantas yang kami senaraikan tadi mempercepatkan penggunaan Zenfone 2. Bagi mereka yang gemarkan pintas pantas sebegini Zen UI memang adalah antaramuka yang akan memudahkan kehidupan anda.

Seperkara lagi mod sebelum tangan boleh diakses dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Saiz skrin ini kemudian boleh diubah oleh pengguna dengan menarik bucu sebelah kanan. Aneh sekali di dalam mod sebelah tangan ini skrin kecil dirapatkan ke sebelah kiri. Tidak pula kami temui cara untuk merapatkannya ke sebelah kanan skrin. Oleh itu ini membuatkan mod ini tidak mesra pengguna yang memegang peranti menggunakan tangan kiri.

Zenselfie-1 Zenselfie-2 Zenselfie-3

 

Kustomasi

Kustomasi tema, ikon dan muka taip disokong sepenuhnya oleh Zen UI. Skrin tetapan kustomasi diakses dengan menekan ruangan kosong pada skrin selama beberapa saat. Sebuah skrin dengan 9 pilihan akan muncul. Pilihan tema, ikon dan animasi boleh dipilih dari skrin ini. Terdapat 10 tema yang boleh dimuat turun buat masa ini. Ini adalah pilihan yang kecil jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Xiaomi.

Asus-Zenfone-2-Screen-4

Aplikasi Terpasang Asus

Peranti ini dipenuhi dengan pelbagai aplikasi eksklusif daripada Asus. Bagi mereka yang biasa menggunakan Android Vanilla kehadiran 32 aplikasi terpasang Asus ini boleh dikategorikan sebagai aplikasi gendut (bloatware). Tetapi sekiranya anda mahukan perkhidmatan yang diberikan Asus secara menyeluruh, aplikasi terpasang ini akan membantu tugasan harian anda. Seperti apa yang dilakukan oleh Samsung dengan S6, kesemua aplikasi terpasang boleh dinyahpasang pada bila-bila masa oleh pengguna. Ada beberapa aplikasi terpasang yang kami rasakan menarik.

PC Link membolehkan paparan skrin peranti muncul pada skrin komputer anda. Melalui aplikasi desktop PC Link skrin peranti boleh dirakam dan kesemua notifikasi Zenfone 2 boleh dilihat terus tanpa peranti dibuka.

Asus Support ialah aplikasi setempat untuk maklumat mengenai produk Asus. Sekiranya anda mempunyai masalah dengan Zenfone 2 anda boleh berhubung secara terus dengan pegawai khidmat pelanggan mereka menggunakan aplikasi chat terbina.

Akhir sekali ialah Kids Mode yang membolehkan akses ibu bapa menghadkan akses aplikasi kepada anak-anak mereka. Senarai aplikasi selamat akan ditetapkan oleh ibu bapa sendiri. Sistem had masa disertakan juga bagi mengawal tahap penggunaan oleh si kecil.

Asus-Zenfone-2-Screen-6 Asus-Zenfone-2-Screen-5

 

Telefoni

Dua slot SIM besaiz Mikro disertakan pada peranti ini. Slot SIM kedua mempunyai ruang untuk kad MikroSD pada bahagian atas. Anda masih boleh menggunakan dua SIM dan sebuah kad MikroSD secara serentak. Kualiti panggilan adalah baik dan terang. Pembesar suara pada bahagian belakang walaupun kecil masih lagi terang apabila mod panggilan pembesar suara digunakan.

Kamera

Kamera hadapan dan belakang kedua-duanya mempunyai sensor sebesar 13 Megapixel. Ini adalah saiz yang sama seperti yang ditemui pada Zenfone 2 tetapi dengan beberapa perubahan kecil. Pertama sekali kamera belakang Zenfone Selfie kini mempunyai sistem pemfokusan berasaskan laser. `hadapan pula selain dari mempunyai sensor lebih besar turut mempunyai sistem flash terbina. Dari segi antaramuka dan fungsi tidak ada perbezaan pada aplikasi kamera. Kesemua pratetapan seperti Super Resolution, Low Light, Depth of Field dan HDR masih lagi dikekalkan. Cuma sekarang kamera hadapan turut boleh menggunakan pra tetapan yang sama seperti yang wujud pada kamera belakang. Sebelum ini hanya beberapa tetapan sahaja boleh dipilih oleh pengguna apabila kamera hadapan diaktifkan.

Asus-Zenfone-Slefie-Camera-UI

Dari segi kualiti gambar kami menyedari ianya lebih baik berbanding yang diambil oleh Zenfone 2. Ini tidak kami jangka kerana ia adalah modul kamera yang sama. Kami merasakan pihak Asus sudah melakukan penambahbaikan kepada perisian dan optimasi kamera untuk Selfie. Gambar kelihatan lebih terang dan tajam berbanding yang kami lihat pada Zenfone 2.

Ianya masih sedikit gelap dan kekuningan tetapi ini tidaklah berapa ketara. Seperti biasa kualiti gambar adalah baik bagi sebuah kamera dengan saiz sensor 13 Megapixel. Kualiti kamera belakang adalah sedikit lebih baik berbanding kamera hadapan. Sungguhpun begitu tidak dapat dinafikan kualiti gambar hadapan Zenfone Selfie adalah antara yang terbaik pernah kami lihat. Tiada masalah tidak terang, tajam ataupun kusam apabila anda mengambil gambar selfie menggunakan kamera hadapan.

Pada resolusi penuh 13 Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk gambar pada nisbah 16:9, resolusi perlu dikurangkan kepada 10 Megapixel. Kemampuan tertinggi video pula ialah hanya rakaman 1080P.

Asus Zenfone SelfieP_20151011_204904Asus Zenfone SelfieP_20151011_204427   Asus Zenfone SelfieP_20151012_211933Asus Zenfone SelfieP_20151012_082642Asus Zenfone SelfieP_20150911_075706Asus Zenfone SelfieP_19700205_232753_BFAsus Zenfone SelfieP_20150909_065822_PN

Video

Rakaman video paling tinggi ialah pada resolusi 1080P. Terdapat juga mod mengambil gambar pada kadar perlahan dan pantas. Resolusi video  tertinggi di dalam dua mod ini pula adalah 720P. Kelemahan kamera Zenfone Selfie ketara apabila rakaman video dilakukan. Kualiti video adalah kurang baik dan tidak setajam imej yang ditangkap menggunakan mod mengambil gambar. Pada waktu malam kualiti video semakin menurun dengan gambar yang gelap. Seperkara lagi apabila mengambil video mod perlahan, video yang dihasilkan adalah tidak lancar dan tersekat-sekat. Ini adalah mengecewakan kerana kualiti gambar statik tidak seteruk video yang dirakamkan.

Penanda Aras

Pemproses lapan teras (1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz) Snapdragon 615 digunakan pada Zenfone Selfie. ini adalah perubahan dari pemproses Intel Atom yang digunakan pada Zenfone 2. Selepas ujian penanda aras dilakukan jelas kelihatan pengurangan dari segi kemampuan memproses. Di atas kertas Zenfone Selfie ialah peranti yang tidak berkuasa tetapi di dalam penggunaan seharian ini adalah tidak benar. Zenfone Selfie jauh lebih lancar berbanding Vivo X5 Pro dan ZTE Blade S6 yang kami ulas tahun ini. Tiada masalah sela masa kami sedari sepanjang tempoh ulasan. Ia berfungsi dengan baik dengan tiada masalah aplikasi terhenti secara tiba-tiba. Masalah kepanasan juga tidak kami sedari. Ia berfungsi selancar Zenfone 2 ZE551ML yang mencatatkan markah jauh lebih tinggi.

bench-Asus-Zenfone-Selfie-2

bench-Asus-Zenfone-Selfie


 

Bateri

Bateri sebesar 3000 mAh digunakan dan ia mampu bertahan hampir 9 jam pada penggunaan berat. Pada penggunaan lebih santai pula ia mampu bertahan hampir 16 jam. Ini adalah hayat bateri yang baik untuk kegunaan harian. Hayat bateri yang agak lama ini adalah perlu kerana tidak seperti Zenfone 2, Zenfone Selfie tidak menyokong sistem pengecasan pantas. Pemproses Snapdragon 615 hanya menggunakan protokol pengecasan QuickCharge 1.0 yang kini tidak cukup pantas jika dibandingkan QuickCharge 2.0 yang boleh mengecas peranti dalam masa kurang dua jam.

 


Pesaing

Terdapat beberapa peranti yang direka khas untuk pengambilan gambar selfie di pasaran. Mari bandingkan spesifikasi Asus Zenfone Selfie dengan Sony Xperia C5 Ultra Dual dan HTC Desire Eye.

Peranti Utama
Asus Zenfone Selfie Sony Xperia C5 Ultra Dual HTC Desire Eye
5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI) 6″” IPS LCD FHD (367 PPI) 5.2″ SLCD3 FHD (424 PPI)
2.1 X 4 + 1.5 X 4 GHz Snapdragon ^15 1.7 x 8 GHz MediaTek MT6752 2.3 x 4 GHz Snapdragon 801
Adreno 405 Mali-T760MP2 Adreno 330
3 Gigabyte 2 Gigabyte 2 Gigabyte
32 Gigabyte (MiroSD 128 GB) 16 Gigabyte (MikroSD 200 GB) 16 Gigabyte (MikroSD 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel Laser, f/2.0 Kamera Utama 13 Megapixel  f/2.0 Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan 13 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 13 Megapixe f/2.0 Kamera Hadapan13 Megapixel f/2.2
3000 mAh (Boleh dibuka) 2930 mAh (Tidak boleh dibuka)
2400 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1049 RM 1399 RM 1699

Kesimpulan

Asus Zenfone Selfie ialah sebuah Zenfone 2 yang diberikan kemampuan kamera berganda serta pemproses yang lebih mesra Android. Dari segi penggunaan ianya tidak terasa seperti peranti yang berbeza. Penggunaan Zen UI memastikan terdapat pelbagai pilihan kustomasi dan kelancaran tatalan. Ia juga pada waktu yang sama membawa masalah aplikasi terpasang yang terlalu banyak. Ini bukan masalah besar sekiranya anda memang hidup di dalam ekosistem Asus. Tetapi jika anda seperti kami, kehadiran pelbagai aplikasi terpasang ini hanya memakan ruang simpanan peranti.

Perkara paling positif boleh kami katakan mengenai Zenfone Selfie ialah ketahanan bateri bertambah dengan penggunaan Snapdragon 615. Peranti juga tidak cepat menjadi panas seperti Zenfone 2. Penggunaan pemproses bukan Intel juga membuatkan lebih banyak aplikasi boleh digunakan tanpa masalah. Dari segi penggunaan harian kami rasakan Selfie adalah peranti yang lebih baik berbanding Zenfone 2.

Kemampuan kamera masih lagi sederhana. Terdapat pelbagai pratatepan yang mempercepatkan proses mengambil gambar dalam pelbagai situasi. Kini kamera hadapan juga boleh menggunakan kesemua pratatepan yang sebelum ini hanya digunakan kamera belakang. Kualiti gambar kamera hadapan tidak mengejutkan adalah antara yang terbaik di pasaran kerana saiz sensor yang besar. Sokongan flash hadapan pula memastikan anda boleh mengucapkan selamat tinggal kepada selfie yang malap. Jika dibandingkan dengan Asus Zenfone 2, kualito gambar statik Selfie adalah jauh lebih baik. Kemampuan video sebalikany adalah mengecewakan kerana tidak menghasilkan visual yang baik. Ini adalah kelemahan ketara Zenfone Selfie.

Akhir kata dengan harga jualan RM 1049 ia memberikan nilai yang baik untuk wang yang dibelanjakan. Beberapa peranti yang mementingkan selfie di pasaran mempunyai kemampuan setanding tetapi dijual pada harga yang mahal. Asalkan anda tidak kisah dengan aplikasi terpasang yang wujud, Zenfone Selfie ialah peranti yang bagus untuk mereka yang menggemari foto selfie.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang selesa walaupun diperbuat daripada plastik. Panel belakang melengkung memudahkan genggaman. Posisi butang adalah ergonomik
  • Kemampuan memproses yang sederhana tetapi tidak menunjukkan sebarang masalah sela masa. Majoriti aplikasi berfungsi dengan baik.
  • Kemampuan kamera utama dan hadapan yang baik.
  • Ketahanan bateri yang agak baik sekitar 9 jam pada penggunaan berat.
  • Pelbagai pilihan kustomasi dan tetapan diberikan oleh ZenUI.
  • Banyak fungsi tambahan yang tidak ditemui pada Android Vanilla.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan pengecasan pantas tidak seperti Zenfone 2.
  • Butang navigasi tidak berlampu.
  • Kualiti video kurang memuaskan.
  • Masih terlalu banyak aplikasi gendut.

 

Skor-Asus-Zenfone-Selfie-2

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd