Menghadirkan diri ketika acara pengumuman cip pemprosesan Intel Core generasi ke-6 adalah beberapa aksesori daripada Microsoft, termasuk salah satunya adalah Universal Foldable Keyboard. Ia telah dilancarkan sebelum ini pada bulan Februari yang lepas, dan hanya dipasarkan oleh Microsoft baru-baru ini.
Papan kekunci boleh-lipat ini menyokong pelbagai platform, termasuk Android, iOS dan juga Windows. Menggunakan papan kekunci ini, ia berhubung melalui sokongan Bluetooth, dan boleh berhubung kepada dua peranti pada masa yang sama. Ini membolehkan pengguna menggunakan papan kekunci ini bersama-sama dengan dua peranti – sebagai contoh pada tablet dan telefon pintar.
Untuk tujuan pengecasan, ia menggunakan sokongan mikro-USB dan boleh bertahan sehingga beberapa bulan.
Di Malaysia, Universal Foldable Keyboard akan dipasarkan bermula pertengahan Oktober ini pada harga RM429.