Cari @ Amanz

Pada acara pengumuman cip pemprosesan Intel Core generasi ke-6, pihak JOI turut menghadirkan diri, dan memperlihatkan salah satu produk mereka yang lebih kurang menyerupai Intel Compute Stick, dinamakan sebagai JOI PC Stick.

JOI PC Stick merupakan salah satu peranti berbentuk dongle HDMI yang boleh dihubungkan ke sebarang skrin paparan – seperti televisyen dan monitor, seterusnya mengubah ia sebagai komputer sepenuhnya. Peranti bersaiz kecil ini memudahkan ia dibawa kemana-mana, selain pada masa yang sama mudah dipasang pada bahagian belakang televisyen atau monitor.

JOI PC Stick

JOI PC Stick

JOI PC Stick

JOI PC Stick dihubungkan ke skrin melalui HDMI, dan ia turut memerlukan sokongan kuasa tambahan – yang mana dihubungkan ke JOI PC Stick melalui mikro-USB.

JOI PC Stick ini dijana dengan cip Intel Atom Z3735F, memori sebesar 2GB RAM, serta dilengkapi dengan ruangan storan 32GB dan sokongan grafik Intel HD. Untuk memperluaskan ruangan storan, pengguna boleh menambah mikro-SD sehingga 128GB.

JOI PC Stick juga turut dilengkapi dengan ruangan USB penuh dan juga mikro-USB, selain sokongan WiFi dan Bluetooth 4.0. Pengguna boleh menghubungkan papan kekunci dan tetikus untuk menggunakan ia bersama-sama skrin paparan.

Pihak JOI mengatakan ia akan dijual di pasaran dalam beberapa bulan lagi, pada harga sekitar RM529 (selepas termasuk GST).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd