HP hari ini telah memperkenalkan salah satu peranti terbaru mereka yang membawakan rekaan hibrid antara tablet dan komputer riba, dinamakan sebagai HP Spectre x2. Seperti Surface, rekaan HP Spectre x2 membolehkan pengguna menanggalkan tablet daripada papan kekunci, atau mengabungkannya menggunakan sokongan magnetik.
Seperti Surface juga, HP Spectre x2 ini membawakan kickstand pada bahagian belakang, dan turut menyokong input menggunakan stylus. Spectre x2 membawakan skrin bersaiz 12-inci dengan resolusi HD penuh, dan dijana menggunakan cip Intel Core m generasi ke-6. Dari segi penawaran memori pula, ia menyertakan pilihan 8GB atau 4GB – dan sama juga untuk storan yang menawarkan storan sehingga 512GB.
Dengan penggunaan Intel Core M, ia menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 10 jam, dan untuk tujuan pengecasan, HP Spectre x2 ini menggunakan sokongan mengecasan berasaskan USB Type-C. HP Spectre x2 ini juga turut dilengkapi dengan sokongan Intel RealSense Camera yang membolehkan rakaman 3D untuk tujuan imbasan produk 3D atau tujuan sekuriti melalui Windows Hello.
Menariknya, HP juga turut menyertakan sokongan LTE pada Spectre x2 ini untuk memudahkan pengguna menggunakan komputer riba mereka dimana-mana, walaupun pada lokasi tanpa WiFi.
HP akan mula menjual ia di Amerika Syarikat bermula hari ini pada harga bermula $800 (~RM3360), dimana harga jualannya turut menyertakan harga papan kekunci – berbeza dengan apa yang dilakukan Microsoft melalui Surface.