Microsoft Malaysia Memperkenalkan Office 2016 – Berkongsi Data Bagaimana Rakyat Malaysia Bekerja

Microsoft Malaysia Memperkenalkan Office 2016 – Berkongsi Data Bagaimana Rakyat Malaysia Bekerja

Diterbitkan pada Okt 12, 2015 oleh .

Microsoft Malaysia hari ini secara rasminya telah pun memperkenalkan perisian pejabat popular mereka terkini, iaitu Office 2016 untuk pasaran tempatan. Melalui Office 2016, pihak Microsoft mengintegrasikan beberapa fungsi baru – terutamanya memfokuskan kepada integrasi sosial dan kolaborasi.

Office 2016 seperti biasa hadir dengan aplikasi seperti Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Outlook dan yang lain. Ia membantu pengguna dalam melakukan pelbagai tugasan, daripada menyediakan dokumen, pembetangan, pengurusan data dan setatistik, mahupun untuk menguruskan emel.

Office 2016 turut hadir dengan integrasi Office 365, selain mana pihak Microsoft kini turut menyertakan sejumlah fungsi menarik pada Office 2016. Salah satunya adalah sokongan kolaborasi masa-nyata, membolehkan pengguna melihat siapakah sedang menyunting dokumen yang dikongsikan pada sesuatu masa, malah berkomunikasi dengan mereka melalui Skype.

Microsoft Office 2016

Dalam usaha mempertingkatkan produktiviti juga, pihak Micrososft mengintegrasikan sokongan lain, sebagai contoh membuat carian web terus pada aplikasi Office 2016 tanpa perlu membuka pelayar web dan meninggalkan apa yang sedang anda lakukan. Anda juga turut boleh menyertakan imej daripada web dengan mudah melalui integrasi ini.

Disamping itu, Microsoft Malaysia juga turut memperlihatkan aplikasi Sway yang membolehkan pengguna untuk membuat fail pembentangan interaktif yang boleh digunakan secara percuma oleh semua melalui web.

Microsoft Office 2016

Pada acara sama, pihak Microsoft berkongsi beberapa data berkaitan bagaimana pengguna tempatan melakukan tugasan di pejabat mereka, dimana antaranya adalah termasuk:

  • 56% pengguna tempatan masih selesa dan produktif ketika dalam persekitaran pejabat.
  • 81% responden mengatakan mereka masih dihubungi diluar pejabat untuk menyelesaikan tugasan mereka.
  • 69% mengatakan pejabat mereka masih tidak menyokong untuk bertugas secara remote.
  • 48% responden mengatakan mereka kekurangan aplikasi untuk bertugas dan berkolaborasi dalam kumpulan.

Office 2016 ditawarkan melalui langganan Office 365 pada harga RM219.99 untuk versi Office 365 Personal, dan Office 365 Home pula berharga RM299.99.

Pengguna turut boleh membeli perisian ini secara berasingan sebagai Office 2016 sahaja pada harga RM1099 untuk Office Home & Business 2016, sementara untuk Office Home & Students 2016 pula berharga RM449.99.


TIPS & ULASAN