Disamping komputer AIO, pihak Acer turut memperkenalkan Acer Aspire R14 – komputer yang boleh diubah kepada pelbagai bentuk penggunaan – sama ada sebagai komputer riba, tablet, atau untuk menikmati media.
Acer mengatakan ia dibina menggunakan rekaan logam yang premium dan membawakan rekaan yang cantik. Acer turut mengintegrasikan sokongan USB Type-C pada komputer riba ini, untuk membolehkan pengguna menggunakan pelbagai aksesori generasi baru tanpa masalah melaluinya. Dari segi spesifikasi ia mempunyai skrin sesentuh 14″ HD penuh dengan sokongan 10 jari, pemproses Intel Core i7-6500U/i5-6200U, RAM DDR3 sehingga 8 Gigabyte dan muatan dalaman SSD sehingga 512 Gigabyte. Komputer riba yang hanya seberat 1.9 Kilogram ini mempunyai bateri yang mampu bertahan sehingga 9 jam.
Acer TrueHarmony turut disertakan untuk kualiti audio yang baik, bagi membolehkan pengguna menikmati audio mahupun membuat panggilan Skype berkualiti tinggi menggunakannya.
Acer Aspire R14 ini juga membawakan rekaan yang lebih nipis berbanding generasi sebelum ini – selain Acer turut mengatakan melalui sokongan sambungan WiFi MU-MIMO pantas, pengguna boleh melakukan penstriman permainan Xbox One melaluinya tanpa masalah.
Acer Aspire R14 ini akan dipasarkan bermula penghujung Oktober ini di Amerika Utara dengan harga $699 (RM 2892) sebuah.