Acer Jade Primo adalah antara peranti paling awal dilengkapi sistem operasi terkini Windows 10 Mobile. Ini membolehkannya untuk berubah menjadi sebuah komputer desktop apabila dipadankan dengan sebuah monitor komputer. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan dok khas ataupun secara tanpa wayar. Di majlis pelancaran Acer Aspire R14 dan Aspire Z3 sebentar tadi kami berjaya menggunakan peranti ini selama beberapa minit.
Rekaan
Peranti ini mempunyai bahan binaan logam pada panel belakang. Sekilas pandang ia mengingatkan kami kepada rekaan sebuah Samsung Galaxy S5. Ia dilengkapi skrin sebesar 5.5″ AMOLED HD Penuh, pemproses Snapdragon 808, kamera utama 21 Megapixel dan kamera hadapan sebesar 8 Megapixel. Pihak Acer masih lagi berahsia mengenai spesifikasi lain peranti ini. Tetapi jika kami boleh mengagak ia pastinya tidak jauh berbeza dari Lumia 950 yang menggunakan pemproses yang sama.
Tiada butang navigasi kapasitif digunakan. Sebaliknya ketiga-tiga butang navigasi utama Back, Windows dan Search terpapar pada skrin. Pada sebelah kanan terdapat tiga butang. Dua butang kawalan suara yang agak kecil dan sebuah butang kawalan kuasa. Slot pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah. Aneh sekali ianya tidak terletak sedikit ke kiri dari garisan tengah peranti. Pada sebelah atas pula terdapat sebuah jack fon kepala 3.5mm. Akhir sekali terdapat pembesar suara mono berbentuk bulat.
Jade Primo adalah selesa amat dipegang kerana panel belakang yang melengkung. Perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai butang suara yang digunakan. Ianya agak kecil dan mencucuk hujung jari apabila digunakan. Keseluruhan skrin pula mudah diakses menggunakan hanya sebelah jari.
Continuum
Fungsi unik peranti Windows 10 Mobile ialah Continuum yang mengubah peranti pintar anda menjadi sebuah komputer desktop. Terdapat dua cara ini dapat dilakukan. Cara pertama ialah dengan menggunakan dok khas dan sambungan secara fizikal. Dok ini mempunyai sambungan USB-C pada bahagian atas lengkap dengan tempat meletakkan peranti. Pada sebelah kanan terdapat dua port USB 2.0 yang boleh digunakan untuk menyambung tetikus dan papan kekunci. Pada sebelah kiri dok pula terdapat sebuah port USB 3.0 dan port HDMI bersaiz penuh. Pada sisi yang sama turut terdapat port untuk menyambungkan sumber kuasa.
Dari segi rekabentuk ia berbeza dari dok Continuum yang diperlihatkan Microsoft pada pelancaran Lumia 950 dan 950 XL tempohari. Pada dok ini terdapat output Display Port dan dua port USB-C. Ia juga tidak mempunyai tempat khas untuk meletakkan peranti. Kesemua sambungan pada port Microsoft ini juga terletak pada bahagian belakang.
Cara kedua ialah menggunakan sistem paparan tanpa wayar WiDi. Apabila menggunakan mod WiDi skrin peranti secara automatik menjadi pad sesentuh untuk mengawal tetikus. Dari pengamatan kami terdapat sela masa yang lebih ketara apabila menggunakan Continuum secara tanpa wayar jika dibandingkan dengan penggunaan dok.
Dalam percubaan selama beberapa minit kami juga menyedari sistem operasi Windows 10 Mobile yang digunakan Jade Primo adalah tidak ancar. Tatalan jelas mempunyai sela masa dan skrin kurang responsif. Kami difahamkan ini adalah kerana perisian yang digunakan bukan perisian akhir dan pepijat masih belum diperbaiki. Ini mengakibatkan sistem Continuum yang diperlihatkan turut memaparkan sela masa yang agak kronik. Input papan kekunci untuk menaip contohnya tidak terpapar secara automatik dan tertinggal lebih kurang sesaat. Bagi menjadikan fungsi Continuum ini benar-benar akan merevolusikan penggunaan peranti pintar ianya kami harap akan jauh lebih lancar dari apa yang kami lihat. Masih terlalu awal untuk kami katakan fungsi ini bakal berjaya ataupun tidak berdasarkan penggunaan perisian yang masih sedang diperhalusi.
Jade Primo ialah pertaruhan Acer untuk menguasai dunia peranti yang mempunyai skrin dari 1″ sehinggalah 100″. Kemampuan Windows 10 Mobile untuk mengecilkan jurang perbezaan sebuah sistem operasi peranti mudah alih dan desktop adalah amat mengujakan. Sekiranya Continuum berjaya menjadikan apa yang dijanjikan realiti kami merasakan masa depan sistem operasi Windows 10 Mobile pastinya akan berubah dan harus diambil serius oleh mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang power user.
Kami tidak sabar untuk mencuba Jade Primo dengan spesifikasi dan sistem operasi akhir. Sejak kali pertama menggunakan peranti pintar kami mahukan sebuah sistem operasi yang berubah mengikut keperluan. Ianya utopia yang kami nantikan sejak sedekad yang lalu. Kami berharap penantian ini akan berakhir dan satu sistem operasi untuk semua akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.