Pandang Pertama : Dell XPS 15

Pandang Pertama : Dell XPS 15

Diterbitkan pada Okt 13, 2015 oleh .

Pada awal tahun ini, Dell telah menarik perhatian ramai pengguna seluruh dunia dengan memperkenalkan Dell XPS 13 generasi baru menggunakan rekaan bingkai skrin yang sangat nipis – sekaligus menjadikan ia komputer riba dengan skrin 13-inci bersaiz paling kecil berbanding pelbagai pesaing lain. Dengan permintaan yang tinggi, kini Dell turut memperkenalkan variasi bersaiz 15.6-inci, dinamakan sebagai Dell XPS 15.

Dell XPS 15, seperti keluarga XPS 13 sebelum ini, ia hadir dalam pilihan paparan HD penuh ataupun paparan UHD 4K. Mereka juga turut menawarkan versi dalam pilihan menyertakan skrin sentuh ataupun sebaliknya. Menjana komputer riba Dell yang baru ini adalah cip pemprosesan Intel Core generasi ke-6 terkini – menawarkan pemprosesan yang berkuasa dan pada masa yang sama menawarkan masa penggunaan bateri yang lama.

Dell XPS 15

Menjadi fokus utama pada Dell XPS 15 ini adalah penggunaan skrin dengan teknologi dinamakan Infinity Display, menawarkan penggunaan skrin dengan bezel bersaiz sangat nipis. Dengan saiz bezel yang nipis ini, walaupun ia membawakan kepada rekaan yang lebih seksi, tetapi pada masa yang sama membawakan beberapa perubahan dari segi rekaan. Salah satu yang menjadi fokus adalah dimana kedudukan webcam adalah diposisikan pada bahagian bawah berbanding kebiasaan di atas.


Dell XPS 15
Skrin 15.6-inci FHD / 4K UHD
Pemproses Intel Core Gen-6
8GB-32GB DDR4 2/3 GB
Muatan Dalaman 500GBHD + 32GB SSD / 1TB HDD + 32GBSSD
Grafik Intel HD / GeForce GTX 960M
Sistem Operasi Windows 10
Port USB, HDMI, Thunderbolt 3, Pembaca SD

Pada bahagian kanan komputer riba berkenaan, sebuah butang khusus disediakan untuk menyemak tenaga bateri yang tersimpan padanya, dimana ia diperlihatkan dalam bilangan lampu LED. Bersebelahan dengannya, port USB disediakan, selain ruangan untuk kad-SD.

Pada bahagian kiri pula, pihak Dell menyertakan sokongan palam kuasa, port USB, HDMI, dan juga Thunderbolt 3. Fungsi Thunderbolt 3 ini membolehkan pengguna memindahkan pelbagai fail dan media dengan pantas – sehingga 40Gbps. Memandangkan Thunderbolt 3 adalah port pelbagai guna, pengguna juga turut boleh menggunakan ia untuk mengecas peranti atau menghubungkan ia kepada panel paparan lain melaluinya.

Bercakap mengenai bateri, Dell XPS 15 menawarkan penggunaan masa sehingga 17 jam lamanya untuk melayari web pada versi menggunakan panel paparan HD penuh – atau sehingga 10 jam melayari web ketika menggunakan panel dengan paparan 4K. Dell turut menyediakan powerbank khusus yang boleh dibeli secara berasingan dinamakan Dell Power Companion yang menawarkan masa tambahan selama 9 jam untuk komputer riba ini. Secara keseluruhan, pengguna boleh mendapatkan masa penggunaan melangkaui lebih 20 jam melalui gabungannya – sesuai untuk mereka yang sering bertugas di luar seharian.

Dell Power Companion

Dell XPS 15

Daripada penggunaan kami, papan kekunci pada Dell XPS 15 menawarkan pengalaman penggunaan yang baik – apatah lagi dengan bahan yang digunakan pada bahagian dalaman komputer riba yang boleh dikatakan agak selesa. Untuk bahagian trackpad, ia menawarkan pengalaman seperti Dell XPS 13 sebelum ini, dimana pengguna perlu mempelajari seketika dan akan selesa menggunakannya selepas seketika.

Menggunakan Core-i7 dan Windows 10, Dell XPS 15 tidak menawarkan sebarang masalah penggunaan. Namun, memandangkan kami hanya cuba ia untuk seketika, maka tidak boleh komen sepenuhnya untuk prestasi komputer riba berkenaan. Apa pun, memandangkan Dell XPS 13 sebelum ini adalah salah satu komputer riba yang menerima maklumbalas positif daripada pengguna seluruh dunia, kami jangka XPS 15 akan meneruskan legasi berkenaan.

Di Malaysia, Dell XPS 15 menggunakan cip Intel Core i7 dengan skrin paparan 4K ditawarkan pada harga RM8499. Dell Malaysia juga bakal membawa masuk model menggunakan cip Intel Core i5 dengan skrin 4K pada harga RM6699 tidak lama lagi.

Dell XPS 15


TIPS & ULASAN