Apple hari ini telah mengemaskini keluarga komputer iMac mereka, dan telah memperkenalkan model baru, iaitu iMac bersaiz 21.5-inci dengan skrin paparan 4K. Disamping itu, Apple juga menambah penawaran cip pemprosesan dan RAM yang lebih baik untuk keluarga iMac berkenaan.
Apple iMac 21.5-inci baru kini hadir dalam tiga variasi, dimana model asas hadir dengan cip Intel Core i5 1.6Ghz, dan paparan HD penuh, serta dilengkapi dengan Intel HD Graphics. Pengguna juga turut disediakan dengan penawaran iMac 21.5-inci dengan Intel Iris Pro Graphics 6200 dengan menggunakan cip Intel COre i5 2.8Ghz.
Versi paling berkuasa adalah iMac 21.5-inci dengan paparan 4K, dimana ia hadir dengan cip Intel Core i5 3.1Ghz dan turut dilengkapi Intel Iris Pro Graphics 6200.
Disamping pengenalan model baru ini, pihak Apple turut memperkenalkan kemaskini kepada keluarga iMac 5K yang mana hadir dengan kemaskini cip pemprosesan, grafik dan memori – serta hadir dengan tiga pilihan tawaran berbeza. Dengan pengenalan baru ini, ia sekaligus menjadikan semua komputer iMac bersaiz 27-inci menyertakan paparan 5K – yang mana semestinya sesuai untuk para pereka grafik dalam membuat penyuntingan video 4K menggunakannya.
Kesemua versi iMac baru ini akan dipasarkan di Malaysia dalam masa 4-5 minggu lagi.