Cari @ Amanz

Lanjutan daripada desas-desus dan laporan-laporan berdasarkan info tertiris semalam, hari ini Telekom Malaysia telah pun mengemaskini halaman web rasmi mereka, dan pada masa yang sama memperlihatkan pakej Unifi Advance dan juga Unifi BIZ yang serba baru.

Laman web utama untuk Telekom Malaysia kini dilihat dibahagikan kepada dua laman berbeza – satu versi klasik seperti sebelumnya, dan satu lagi laman versi baru yang mana memfokuskan kepada tempahan pakej Unifi yang ditawarkan oleh pihak TM. Berkemungkinan, pihak Telekom mungkin akan menyatukan ia kelak pada masa akan datang.

Bercakap mengenai pakej, kini melalui halaman Unifi baru, Telekom Malaysia dilihat telah membuang pakej lama untuk VIP5 sehingga VIP20, sebaliknya hanya menyenaraikan dua pakej sahaja, iaitu Unifi 30Mbps dan juga Unifi 50Mbps. Kedua-duanya dijenamakan dibawah nama baru Unifi Advance.

Seperti ramai sedia maklum sebelum ini, Unifi 30Mbps menawarkan kadar muat-turun 30Mbps dan muat-naik 5Mbps. Sama juga untuk Unifi 50Mbps yang mana mereka menawarkan kadar muat-turun 50Mbps dan muat-naik 10Mbps.

Unifi Advance

Unifi Advance

Pakej Unifi Advance 30Mbps hadir pada harga langganan bermula RM199 sebulan dan meningkat sehingga RM229 sebulan berdasarkan kepada pakej pilihan HyppTV. Untuk tempoh promosi pengenalan penjenamaan baru ini, Telekom Malaysia menawarkan diskaun RM20 untuk bayaran bulanan, sekaligus menjadikan langganan bulanan adalah serendah RM179 untuk pakej 30Mbps.

Pengguna turut boleh menambah beberapa perkara tambahan untuk langganan mereka – seperti kelajuan sehingga 50Mbps, melanggan P1, dan juga menambah pakej panggilan suara.

Selain pakej untuk pengguna, pihak Telekom Malaysia turut mengumumkan pakej baru untuk UniFi BIZ iaitu dalam pilihan 30Mbps dan juga 50Mbps. Seperti pelan pengguna, ia juga turut menawarkan kelajuan muat-turun dan naik yang sama, serta menggunakan IP dinamik. Perkara ini mungkin agak tidak digemari pengguna perusahaan yang kebiasaannya inginkan kadar muat-turun yang lebih pantas atau selari dengan kadar muat-turun.

Untuk pakej UniFi Biz, harga langganan bermula RM299 untuk pakej 30Mbps, dan tambahan RM50 sebulan untuk pakej 50Mbps. Namun, untuk fasa permulaan ini, pihak Telekom Malaysia menawarkan promosi potongan sebanyak Rm40, menjadikan harga langganan bulanan untuk pakej Unifi BIZ Advance 30Mbps berharga RM249.

Unifi BIZ Advance

Unifi BIZ Advance

Salah satu perkara yang turut mencuri perhatian adalah dimana pihak Telekom Malaysia membuang pautan kepada pakej Unifi VIP5 sehingga VIP20 sebelum ini – dan tiada lagi menu pautan untuk Streamyx melalui rekaan baru laman web Telekom Malaysia. Kami akan cuba menghubungi pihak Telekom Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengannya pada pagi esok.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd