Pandang Pertama : Alcatel Flash 2

Pandang Pertama : Alcatel Flash 2

Diterbitkan pada Okt 15, 2015 oleh .

Alcatel Flash 2

Alcatel Flash 2
Skrin 5.0-inci
Pemproses MediaTek MTK6753 1.3Ghz
RAM 2 GB
Kamera Utama 13-megapixel
Kamera Hadapan 5-Megapixel
Harga RM549

Alcatel hari ini secara rasminya telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, dinamakan sebagai Flash 2. Telefon pintar ini membawakan rekaan yang sedikit berbeza dengan beberapa peranti berharga sekitar RM500 yang lain.

Alcatel Flash 2 menggunakan rekaan kerangka belakang dengan kemasan seumpama baldu – dan bukannya plastik seperti kebanyakkan peranti yang lain. Kami hanya mencuba set berwarna kelabu sahaja, dan pihak Alcatel turut mengumumkan akan menawarkan set berwarna putih untuk pasaran tempatan.

Alcatel Flash 2 ini menggunakan skrin bersaiz 5-inci, dan selepas saya menggunakan beberapa peranti bersaiz sedikit besar daripadanya, saya dapati tidak mempunyai sebarang masalah dengan saiz peranti ini. Namun, rekaan kerangka berasaskan seumpama baldu masih tidak memberikan keselesaan yang baik pada tangan saya ketika memegangnya untuk seketika – berbanding beberapa peranti lain yang berasaskan plastik.


Alcatel Flash 2 berasaskan kepada Android 5.1 Lollipop, dan menariknya Alcatel tidak membuat penambahan antaramuka untuk sistem operasi – sekaligus memberikan pengalaman penggunaan Android yang asli. Namun, beberapa mod dan fungsi tambahan disertakan oleh Alcatel untuk pengguna peranti ini.

Salah satunya adalah App Permission. Seperti ramai sedia maklum, Google hanya mengimplementasi fungsi ini secara rasmi pada Android 6.0 Marshmallow sahaja, tetapi Alcatel Flash 2 turut menyertakan fungsi yang lebih kurang serupa – membolehkan pengguna mengawal aplikasi yang mengakses kebenaran pada telefon – sebagai contoh aplikasi apa boleh mengakses SMS, kamera dan sebagainya.

Selain daripada App Permission, pengguna juga turut ditawarkan dengan aplikasi dinamakan Auto-Start Management untuk mengawal aplikasi apakah yang boleh dimulakan dan dijalankan ketika peranti dimulakan.

Alcatel Flash 2 Android

Alcatel Flash 2 Android

Pihak Alcatel turut menyertakan sebuah fungsi khusus pada bahagian menu akses pantas dinamakan Click Clear untuk membolehkan pengguna mematikan dan menamatkan semua operasi yang berjalan di latar.

Walaupun ia menjalankan Android dengan tema asli tanpa penambahan drastik, salah satu perkara yang saya kurang gemari adalah lambakan aplikasi yang disertakan pada telefon pintar Alcatel Flash 2 ini. Sekitar 40 ikon telah tersedia ketika memulakan peranti ini, termasuk Facebook, Antivirus AVG, WhatsApp, zApp, TouchPal Keyboard dan sebagainya.

Alcatel Flash 2

Pada telefon pintar Alcatel Flash 2 ini, pihak Alcatel memfokuskan kepada penawaran kualiti kamera untuk rakaman belakang dan juga kamera hadapan. Alcatel Flash 2 ini menggunakan kamera belakang 13-megapixel, dan kamera hadapan 5-megapixel. Daripada percubaan ringkas kami, terdapat sejumlah gambar rakaman yang dihasilkan dengan baik – tetapi ketika menggunakan kamera, kami dapati berlakunya lengah masa ketika menggunakan aplikasi kamera, selain terdapat beberapa kali ia mengambil masa seketika untuk merakamkan gambar (terutamanya ketika dalam keadaan cahaya rendah).


Contoh Rakaman Gambar


Secara keseluruhan, pada harga RM549 ini mungkin menjadi salah satu peranti yang diminati ramai pengguna yang inginkan sesuatu pada harga rendah. Daripada percubaan saya, saya amat menyukai penggunaan antaramuka Android asli tanpa penambahan drastik seperti dilakukan oleh pelbagai pengeluar lain. Penggunaan Android pada peranti ini tidak memperlihatkan sebarang lengah masa, namun masalah hanya dialami ketika saya menggunakan aplikasi kamera – dimana terdapat lengah masa, dan mengambil masa yang sedikit lama ketika merakamkan gambar gelap. Disamping itu, saya juga kurang mengemari penggunaan rekaan kerangka belakang seumpama baldu pada telefon pintar ini – tetapi ia mungkin hanya untuk saya, dan pengguna lain mempunyai pengalaman berbeza. Namun, masalah ini boleh dikategorikan sebagai kecil, dan boleh diatasi dengan menggunakan kerangka tambahan luaran yang dibawakan pada pakej pembelian pengguna.


TIPS & ULASAN