Apple iPhone 6S Dan iPhone 6S Plus Mula Dijual Oleh Maxis, Digi, Celcom Dan U Mobile

Apple iPhone 6S Dan iPhone 6S Plus Mula Dijual Oleh Maxis, Digi, Celcom Dan U Mobile

Diterbitkan pada Okt 16, 2015 oleh .

Bermulanya tengah malam 16 Oktober 2015, syarikat telekomunikasi utama tempatan, iaitu Maxis, Digi, Celcom dan juga U Mobile telah pun memulakan penjualan rasmi iPhone 6S dan juga iPhone 6S Plus di Malaysia.

Apple iPhone 6S

Seperti ramai sedia maklum, iPhone 6S dan iPhone 6S Plus merupakan telefon pintar terbaru daripada Apple, hadir dengan pelbagai kemaskini spesifikasi, menggunakan kamera 12-megapixel iSight, integrasi pengimbas cap jari, dan juga sokongan Force Touch pada skrin dinamakan sebagai 3D Touch.

Syarikat telekomunikasi tempatan telah memulakan pra-tempahan untuk kedua-dua model sejak daripada minggu lepas, dan memulakan jualan secara rasmi hari ini. Berikut merupakan antara perkara yang berlaku sekitar pelancaran iPhone 6S dan iPhone 6S Plus di Malaysia hari ini:


Maxis Membuat Penghantaran Terus Kepada Pengguna

Maxis iPhone 6S

Maxis seperti dijanjikan, mereka telah mula membuat penghantaran terus kepada para pelanggan mereka seluruh negara bermula hari ini. Menurut wakil Maxis yang ditemui kami, mereka mengatakan akan menghantar lebih kurang 300 iPhone 6S dan iPhone 6S Plus pada malam ini di seluruh negara, dan menyasarkan untuk menghantar lebih daripada 1000 unit dalam tempoh 24 jam ini dibawah program Maxis Express.

Maxis KLCC iPhone 6S

Disamping penghantaran terus, Maxis juga turut membuka beberapa kedai utama mereka, membolehkan pengguna yang pra-tempah untuk mendapatkan set mereka terus daripada Maxis dan menggunakannya malam ini. Terdapat juga beberapa pelanggan Maxis yang beratur untuk mendapatkan telefon pintar ini daripada Maxis.


Celcom Menawarkan 6 iPhone 6S Pertama Untuk RM6.50

Celcom iPhone 6S

Celcom seperti tahun-tahun lepas, membuka ruangan beratur di Sunway Pyramid, membolehkan pelanggan yang berminat beratur dan mendapatkan telefon iPhone 6S dan iPhone 6S Plus bersama-sama pakej Celcom. Untuk 6 pengguna pertama yang beratur dan mendapatkan bersama pakej Celcom, pihak Celcom menawarkan iPhone pada harga hanya RM6.50.

Celcom iPhone 6S

Celcom juga menggunakan artis untuk menarik orang ramai hadir ke acara pelancaran mereka. Sam yang menggunakan BlackBerry Z10 pada filem Polis Evo dilihat menjadi duta iPhone 6S untuk Celcom.


Digi Turut Membuat Penghantaran Terus Kepada Pelanggan

Digi iPhone 6S

Selain daripada Maxis, pihak Digi juga turut menawarkan penghantaran lewat malam, dimana mereka turut menghantar iPhone terus kepada pelanggan yang membuat tempahan.

Digi iPhone 6S

Disamping itu, Digi turut membuka kedai Digi Store di Petaling Jaya, Kuantan, Pulau Tikus, Danga Bay, Kuching, dan Api Api untuk mereka yang berminat dapatkannya dengan beratur dan beli terus pada tengah malam ini.


U Mobile Menawarkan iPhone Pertama Kali Pada Hari Pelancaran

U Mobile iPhone6S

Pada tahun ini, ia merupakan salah satu detik bersejarah untuk pihak U Mobile, dimana mereka menawarkan iPhone 6S dan iPhone 6S Plus kepada para pengguna dan pelanggan mereka pada tarikh pelancaran. Pihak U Mobile membuka ruangan untuk beratur dan mendapatkan iPhone daripada mereka di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

U Mobile iPhone6S

Pihak U Mobile turut menawarkan pembelian iPhone 6S dan iPhone 6S Plus bersama-sama pakej prabayar, disamping turut menawarkan iPhone 5c secara percuma untuk beberapa pembeli terawal dengan pakej mereka.


TIPS & ULASAN