Beberapa minggu yang lalu HTC mengeluarkan kenyataan mereka tidak mampu mengeluarkan patch keselamatan untuk peranti Android setiap bulan. Masalah kerentanan sistem operasi Android adalah diketahui ramai. Sebagai contoh masalah Stagefright yang melanda kesemua peranti Android boleh menyebabkan peranti digodam dengan hanya menggunakan MMS.
Keselamatan peranti anda sangat bergantung kepada kepantasan pengeluar memperbaiki kerentanan yang wujud. Tidak seperti Apple, pelbagai versi dan antaramuka pihak ketiga yang digunakan menyukarkan proses memperbaiki kerentanan yang wujud. Jadi sekiranya anda pengguna Android, pengeluar manakah yang paling pantas dalam memperbaiki masalah ini?
Laporan dari AndroidVulnerabilies.org meletakkan LG sebagai pengeluar yang paling boleh diandalkan untuk memastikan peranti keluaran mereka sentiasa selamat. Mereka diberikan markah 4/10 berbanding Motorola (3.1), Samsung (2.7), Sony (2.5), HTC (2.5), Asus (2.4), Alps (0.7) . Pengeluar yang menerima markah paling buruk pula ialah Symphony dan Walton dengan 0.3. Tidak mengejutkan pengeluar peranti paling pantas memperbaiki masalah keselamatan ialah Google Nexus yang menerima 5.2 markah. Google Nexus tidak diletakkan di atas LG di dalam senarai ini kerana mereka mendapat sokongan terus dari Google.
Bagaimana pula dengan pengeluar lain yang tidak ada di dalam senarai ini? Kajian keselamatan ini masih lagi berlangsung dan hanya sempat menguji peranti dari pengeluar-pengeluar di atas. Di masa hadapan lebih banyak pengeluar akan disenaraikan dan akan akan dapat mengetahui peranti Android manakah yang lebih selamat. Buat masa ini sekiranya anda mahukan peranti paling selamat, milikilah peranti Nexus ataupun LG. Bercakap tentang LG, mereka juga pengeluar pertama selain Nexus yang akan memberikan kemas kini Marshmallow bermula hujung bulan ini.