Pemandu Uber Detroit Mogok Menentang Tambang Terlalu Murah

Pemandu Uber Detroit Mogok Menentang Tambang Terlalu Murah

Diterbitkan pada Okt 17, 2015 oleh .

Di Malaysia pemandu teksi kini bertindak agresif menangkap pemandu Uber yang didakwa mencuri rezeki mereka. Tambang Uber yang jauh lebih rendah menyebabkan pengguna memilih untuk menggunakannya berbanding teksi. Tindakan menangkap pemandu Uber di Lembah Klang menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pelanggan Uber. Pihak SPAD dan JPJ juga sudah mengugut akan menghalang kenderaan Uber dari memperbaharui cukai jalan selagi pemandu enggan menyerahkannya kepada mereka. Insiden pemandu biasa ingin mengambil kawan dan dituduh pemandu Uber juga sudah dilaporkan berlaku dan memburukkan lagi keadaan. Di kalangan pengguna rata-ratanya merasakan Uber ialah perkhidmatan yang jauh lebih baik,bersih dan selamat berbanding teksi.

Uber

Di Detroit Amerika Syarikat lain pula yang berlaku. Pemandu Uber di bandar kelahiran Eminem ini akan melakukan mogok sepanjang hujung minggu bagi memprotes kadar tambang Uber yang semakin rendah. Kadar tambang yang dahulunya sekitar $2 setiap batu kini menjunam kepada 75 sen sebatu. Pemandu Uber Detroit merasakan tambang murah ini hanya menguntungkan pelanggan dan bukannya mereka. Mereka juga berharap Uber akan membenarkan penumpang memberikan mereka tip sekiranya berpuasa hati dengan pemanduan mereka.Pihak Uber berkata mereka tidak akan mengubah kadar tambang yang ditawarkan mereka. Mereka juga percaya hanya sebilangan kecil pemandu akan melakukan mogok dan ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan Uber di bandar ini.

Jelas sekali tambang murah yang ditawarkan tidak semestinya menguntungkan pemandu. Di Malaysia tambang terlalu murah sehingga menjejaskan pemandu masih belum berlaku. Tetapi jelas sekali masalah ini pastinya timbul di masa hadapan.

 


TIPS & ULASAN