Harga Kad Prabayar Akan Kembali Kepada Harga Sebelum GST November Ini

Harga Kad Prabayar Akan Kembali Kepada Harga Sebelum GST November Ini

Diterbitkan pada Okt 19, 2015 oleh .

GSTIsu harga kad prabayar untuk penggunaan telefon mudah-alih adalah isu yang paling hangat diperkatakan selepas GST dilaksanakan April lalu. Pihak kerajaan sudah berjanji pada Mei yang lalu bahawa harga kad prabayar akan kembali kepada harga asal dalam masa enam bulan. Hari ini Utusan Malaysia melaporkan harga kad prabayar akan kembali kepada harga pra-GST pada bulan November.

Ini bermakna kad yang dijual pada harga RM10 akan memberikan tambah-nilai penggunaan RM10 kepada pengguna tanpa sebarang pengurangan akibat cukai. Pengguna tidak perlu membayar tambahan seperti pada hari ini, sebagai contoh RM10.60 untuk tambah-nilai berharga RM10.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani dipetik menyebut, “Jika pihak telco masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu juga patuh pada arahan ini iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal. Sebab, secara logiknya kalau pihak telco tidak bersedia, kenapa pengguna pula yang kena tanggung kos tambahan”

Pihak kerajaan menegaskan akan mengambil tindakan sekiranya syarikat telekomunikasi gagal menurunkan harga kad prabayar pada 1 November hadapan. Pengumuman ini pastinya disambut baik oleh rakyat Malaysia yang menggunakan talian prabayar, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dan pelajar. Ini sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan rakyat yang bertambah mendadak selepas GST dilaksanakan. Janji sudah ditepati, kini tiba masa syarikat telekomunikasi untuk tidak degil lagi.


TIPS & ULASAN