Samsung Mempatenkan Teknologi Skrin Sesentuh Seakan 3D Touch

Samsung Mempatenkan Teknologi Skrin Sesentuh Seakan 3D Touch

Diterbitkan pada Okt 20, 2015 oleh .

Skrin sesentuh yang boleh mengesan tekanan adalah teknologi baru yang dipopularkan oleh iPhone 6S dan 6S Plus. Sungguhpun begitu peranti pintar pertama yang menggunakan teknologi ini adalah Huawei Mate S. Dengan penggunaan skrin sebegini, lebih banyak fungsi baru boleh diperkenalkan pada peranti pintar. Secara literal ia membuka dimensi baru bagaimana manusia berinteraksi dengan elemen antaramuka peranti.

Samsung-3d-Touch-1

Terdapat ura-ura Samsung bakal memperkenalkan sistem sentuhan 3D pada Galaxy S7 kelak. Ura-ura ini semakin bertiup kencang selepas paten untuk sistem ini diperlihatkan oleh Pejabat Hakcipta Intelektual Korea. Paten ini difailkan oleh Samsung pada April tahun lalu. Sistem ini mengesan tekanan berdasarkan aliran arus elektrik dari jari pengguna ke permukaan skrin. Luas permukaan jari yang menyentuh skrin bertambah apabila tekanan bertambah sekaligus meningkatkan aliran arus elektrik. Ini kemudian diubah kepada nilai berbeza menggunakan perisian khas. Paten ini hanya menunjukkan bagaimana ia bakal berfungsi tetapi tidak pula menunjukkan mekanisme seakan Taptic Engine yang digunakan pada peranti Apple.

Kami telah mencuba sistem Force Touch dan 3D Touch pada peranti Apple dan merasakan ianya fungsi yang menarik. Fungsi yang sama pada peranti Android adalah sesuatu yang ingin kami lihat dalam masa terdekat. Kita nantikan sahaja sekitar April tahun hadapan untuk melihat sama ada Galaxy S7 akan mempunyai teknologi sentuhan 3D.

Samsung-3d-Touch-2


TIPS & ULASAN