Pada minggu lepas, kita melihat pihak OnePlus hadir dengan kempen mengajak pengguna untuk mengubah peranti Samsung mereka kepada OnePlus 2 secara percuma. Kini, mengikut langkah yang sama, pihak Meizu turut mengumumkan kempen mereka dalam membolehkan pengguna OnePlus 2 untuk menukar-ganti peranti mereka kepada Meizu Pro 5.
Memandangkan pihak Meizu menawarkan pendaftaran tukar-ganti ini dalam bahasa Inggeris, ia boleh dikatakan yang mana mereka membuat program tukar-ganti ini pada tahap global dan bukan setakat pasaran China sahaja.
Seperti ramai sedia maklum, Meizu Pro 5 adalah telefon pintar terbaru daripada Meizu, hadir dengan penawaran teknikal menyerupai Galaxy S6 – tetapi dengan beberapa perubahan minima, serta berbeza dari segi rekabentuk dan penambahan teknologi tambahan.
Meizu Pro 5 dijangka hadir ke Malaysia sekitar bulan November kelak, dan jika anda tidak sabar menantikannya, mungkin boleh mendapatkan Galaxy S6, dan menukarnya kepada OnePlus 2 sebelum mendapatkan Meizu Pro 5 ini.