Sony SmartWatch 3 Menggunakan Android Wear Akan Ditawarkan Di Malaysia Tidak Lama Lagi

Sony SmartWatch 3 Menggunakan Android Wear Akan Ditawarkan Di Malaysia Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Okt 21, 2015 oleh .

Sony Malaysia hari ini melalui laman sosial mereka telah pun mengeluarkan teaser, memperlihatkan jam tangan terbaru mereka berasaskan Android Wear, iaitu Sony SmartWatch 3, akan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Sony SmartWatch 3 hadir dengan pelbagai sensor terbina, termasuk GPS, kompas, accelerometer, dan juga Gyro. Sony mengatakan jam tangan pintar ini mampu bertahan selama dua hari lamanya.

Sony SmartWatch 3

Sony SmartWatch 3 turut hadir dengan sokongan WiFi terbina, membolehkan anda berinteraksi dengan aplikasi tanpa perlu mengakses telefon pintar anda. Dan memandangkan ia dijana menggunakan Android Wear, maka pengguna boleh menggunakan jam tangan pintar ini bersama-sama dengan sebarang telefon Android, ataupun iPhone.

Sony SmartWatch 3

Dari segi spesifikasi, Sony SmartWatch 3 menggunakan skrin bersaiz 1.6-inci dengan resolusi 320×320. Ia menggunakan skrin segi-empat, dan dijana menggunakan cip Quad ARM A7 1.2Ghz, serta memori 512MB RAM. Jam tangan pintar ini turut hadir dengan sokongan WiFi, NFC, Bluetooth, serta kalis air dan debu.

Harga jualan Sony SmartWatch 3 ini masih tidak diketahui lagi. Mungkinkah kita melihat jam tangan pintar ini diumumkan bersama-sama pengenalan Xperia Z5 minggu hadapan?


TIPS & ULASAN