Facebook merupakan laman sosial terkemuka dunia, dimana pengguna berkongsi pelbagai perkara melaluinya – bukan sahaja perkongsian status, tetapi juga gambar, berita, pautan dan sebagainya. Kini, dalam memudahkan pengguna untuk menemui perkara baru dan apa yang dicari, Facebook telah memperkenalkan fungsi baru dinamakan sebagai Search FYI.
Melalui fungsi Facebook Search FYI ini, gergasi laman sosial berkenaan membuatkan lebih 2 trilion perkongsian daripada pengguna boleh dicari sesiapa sahaja pada laman sosial berkenaan. Facebook Search FYI juga menyertakan sokongan cadangan carian, memberikan anda dengan beberapa pilihan carian ketika anda membuat carian.
Ini bermakna, jika anda membuat perkongsian secara umum di Facebook, maka perkongsian anda boleh dilihat sesiapa sahaja – dan mungkin ini sesuatu perkara yang tidak diinginkan oleh segelintir besar pengguna.
Ini mungkin membuatkan ramai menyalahkan Facebook, tetapi itu bukanlah masalahnya, memandangkan Facebook sendiri telah menekankan beberapa kali mengenai perkongsian umum yang boleh dicari sesiapa sahaja.
Pengguna ditawarkan dengan pilihan untuk mengubah kaedah perkongsian anda kepada hanya dilihat rakan-rakan anda sahaja.
Bagi anda yang ingin mengubah tetapan anda, anda boleh ke halaman Privacy di Facebook, dan mengubah perkongsian anda untuk dilihat oleh siapa – termasuk perkongsian lalu anda.