Pandang Pertama : Huawei Mate S, Telefon Paling Premium Daripada Huawei

Pandang Pertama : Huawei Mate S, Telefon Paling Premium Daripada Huawei

Diterbitkan pada Okt 27, 2015 oleh .

Huawei pada tahun ini telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna dengan peranti seperti Huawei P8 dan juga Honor 7. Selain kedua-duanya, mereka juga turut telah memperkenalkan telefon pintar terbaru dibawah keluarga Mate mereka, dinamakan sebagai Huawei Mate S.

Huawei Mate S dilihat sebagai kemaskini kepada keluarga Mate 7 sebelum ini. Huawei Mate 7 sedia mempunyai peminatnya tersendiri, dan pihak Huawei meneruskan tradisi berkenaan melalui Huawei Mate S.


Huawei Mate S
Skrin 5.5-inci
Pemproses Kirin 935 2.2Ghz
RAM 3 GB
Kamera Utama 13-megapixel
Kamera Hadapan 8-Megapixel
Bateri 2700mAh
Harga RM2698

Huawei Mate S hadir dengan rekaan berasaskan logam, dan dilengkapi dengan pengimbas cap jari pada bahagian belakang. Penggunaan kerangka logam memberikan pengalaman penggunaan peranti yang berkualiti tinggi. Binaannya juga amat baik, dan berkualiti. Walaupun ia membawakan skrin bersaiz 5.5-inci, namun, ketika digunakan, ia tidak kelihatan begitu besar. Mungkin ini adalah kerana rekaan peranti berkenaan yang melengkung sedikit di belakang – serta bahagian tepi yang sangat nipis jikalau dibandingkan dengan pelbagai peranti lain di pasaran.

Menjana peranti ini adalah cip pemprosesan yang dikeluarkan oleh Huawei HiSilicon, iaitu Kirin 935. Huawei turut menyertakan memori sebesar 3GB RAM pada peranti ini dan menawarkan pengalaman penggunaan yang lancar.

Antaramuka EMUI yang digunakan adalah sangat lancar, dan menawarkan ciri-ciri sama seperti Honor 7 dan juga Huawei P8 – tetapi hadir dengan beberapa penambahan baru. Huawei Mate S hadir dengan sokongan dwi-SIM, dimana SIM kedua berfungsi sebagai SIM berbentuk hibrid – membolehkan pengguna menggunakan ruangan tersebut untuk mikro-SD ataupun kad-SIM kedua.

Pada bahagian bawah peranti disertakan adalah ruangan speaker dan juga pengecas berasaskan mikro-USB, sementara pada bahagian kanan peranti adalah butang kuasa dan juga butang kawalan volume.


Pengimbas Cap Jari, Lampu LED Untuk Kamera Hadapan

Telefon pintar Huawei Mate S hadir dengan beberapa ciri-ciri baru jikalau dibandingkan dengan Ascend Mate 7 sebelum ini, ataupun jikalau dibandingkan dengan telefon pintar Huawei P8.

Huawei Mate SHuawei Mate S kini mengintegrasikan sokongan pengimbas cap jari pada bahagian belakang – dimana ia beroperasi dengan sangat pantas, dan boleh dikatakan lebih pantas jikalau dibandingkan dengan iPhone, Galaxy Note dan sebagainya.

Pengimbas cap jari ini bukan hanya sekadar untuk mengakses peranti sahaja, sebaliknya turut boleh digunakan untuk merakamkan gambar, selain turut menyokong kebolehan untuk menatal talam notifikasi untuk memudahkan anda membaca pelbagai notifikasi dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.

Disamping itu, Huawei juga turut membuat kejutan dengan mengintegrasikan lampu pada bahagian hadapan. Ini membolehkan anda merakamkan gambar selfie dengan jelas menggunakan sensor 8-megapixel, walaupun ketika keadaan persekitaran anda gelap.

Huawei Mate S turut mempunyai variasi dengan fungsi Force Touch, tetapi untuk pasaran Malaysia, pihak Huawei tidak membawa masuknya memandangkan kosnya yang tinggi jikalau dibandingkan dengan harga ringgit semasa.

Fungsi Baru Melalui EMUI

Bercakap mengenai peranti baru, ia biasanya akan menyertakan iterasi perisian baru bersama-sama dengannya. Huawei Mate S hadir dengan EMUI 3.1 berasaskan kepada Android Lollipop. Seperti biasa, ia tidak hadir dengan talam aplikasi, dan semua ikon aplikasinya diletakkan pada skrin utama – bersama-sama widget.

Huawei Mate S hadir dengan beberapa ciri-ciri khusus terbina, termasuk sokongan kawalan penggunaan tenaga bateri oleh aplikasi. Jika sesuatu aplikasi menggunakan tenaga bateri yang berlebihan atau berjalan di latar, anda akan diberikan notifikasi untuk menghentikannya ataupun membiarkan ia terus berjalan.

Disamping itu, Huawei juga menyertakan kebolehan untuk pengguna mengawal aplikasi mana yang boleh mengakses data peranti mudah-alih anda dan hanya WiFi sahaja. Ini sekaligus membolehkan anda mengawal penggunaan data anda – terutamanya ketika berada di luar rumah atau pejabat.

Huawei Mate S versi Malaysia walaupun tidak hadir dengan fungsi Force Touch, tetapi beberapa fungsi motion masih disertakan. Salah satunya adalah kebolehan untuk dwi-tap skrin untuk mengaktifkannya. Walaubagaimanapun, mungkin pengguna lebih selesa menggunakan pengimbas cap jari dibelakang untuk mengaktifkan skrin berbanding menggunakan dwi-tap.

Satu lagi fungsi baru yang kami perasan pada Huawei Mate S adalah kebolehan merakamkan skrin – dimana anda boleh merakamkan video penggunaan skrin sebelum berkongsi kepada yang lain. Ini mungkin agak berguna jika anda ingin merakamkan permainan, ataupun ingin berkongsi tutorial bersama-sama rakan lain.

Huawei Mate S

Huawei Mate S


Kamera 13-Megapixel

Huawei Mate S hadir dengan kamera utama 13-megapixel yang boleh merakamkan gambar dengan jelas pada beberapa keadaan. Seperti Huawei P8, pihak Huawei turut menyertakan fungsi rakaman gambar gerakan cahaya melalui Mate S ini. Menggunakan mod khusus, pengguna boleh merakamkan gambar gerakan lampu kenderaan, grafiti cahaya dan sebagainya menggunakan peranti ini.

Huawei Mate S

Huawei Mate S

Huawei turut melengkapkan peranti ini dengan sokongan penstabilan imej optikal, membolehkan anda merakamkan video dengan jelas walaupun ketika sedang bergerak. Satu lagi fungsi berguna adalah sokongan Object Tracking, dimana mengelakkan video hilang fokus ketika merakamkan gambar video untuk sebuah objek yang bergerak.


Contoh Gambar


Aksesori Tambahan

Huawei Mate S

Huawei Mate S dengan harga RM2698, turut hadir dengan beberapa aksesori tambahan secara terbina ketika anda membuat pembelian. Seperti biasa, Huawei menyertakan fon telinga – yang mana hadir dalam pakej yang cantik, dan berbeza dengan penawaran pengeluar lain. Disamping itu, kabel USB turut disertakan bersama-sama palam untuk pengecasan mahupun jika ingin dihubungkan ke komputer.

Menjadi sedikit kelainan adalah dimana Huawei turut menyertakan kerangka tambahan luar, yang mana bertindak melindungi peranti. Kebiasaannya, ramai pengguna akan mencari aksesori tambahan untuk peranti selepas membelinya, dan ia agak sukar untuk mencari aksesori produk Huawei diluar sana. Memandangkan kini Huawei menyertakannya secara terbina, mungkin ia akan lebih digemari pengguna ketika mendapatkannya.


Pada harga RM2698, Huawei boleh dikatakan memposisikan peranti mereka sebagai peranti premium – apatah lagi dengan perbezaan hanya seringgit berbanding harga jualan Galaxy Note 5 di Malaysia. Huawei mungkin akan mempunyai sedikit cabaran dalam membuat pemasaran, tetapi dengan kualiti binaan peranti mereka, dan penerimaan jenama Huawei dikalangan ramai akhir-akhir ini, ia mungkin tidak akan menjadi masalah untuk mereka dalam menarik pengguna untuk membelinya.


TIPS & ULASAN