Cari @ Amanz

Mesin ATM pertama dicipta oleh John Shepard-Barron pada tahun 1967 dan digunakan di cawangan Barclay Bank yang terletak di London. Pada waktu tersebut pemilik akaun bank menggunakan cek khas dengan kesan surihan Carbon-14 sebagai kad ATM pertama. Mesin ATM pertama ini hanya akan mengeluarkan ‎£10 dengan penggunaan setiap cek khas ini. ‎£10 mungkin kelihatan seperti sedikit tetapi ini bersamaan dengan ‎£167 sekarang. Penggunaan kad ATM dengan nombor pin hanya bermula beberapa tahun selepas itu dengan penggunaan pin empat angka.

Diebold Irving ATM imbasan 1

Masalah penggunaan ATM sekarang ialah kad boleh diklon dan sekiranya nombor pin dicuri wang boleh dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggung jawab. Masalah ini sudah berlarutan berpuluh tahun tetapi tidak ada langkah pengenalan baru digunakan oleh bank bagi menyelesaikan masalah kecurian sebegini. Pihak Citibank di Amerika Syarikat kini sedang mencuba mesin ATM yang cuba menyelesaikan masalah ini menggunakan sistem imbasan mata.

Mesin ATM Irving ciptaan firma Diebold akan diuji oleh Citibank di beberapa lokasi di Amerika Syarikat. Sebelum menggunakan Irving pengguna perlu “memesan” wang menggunakan aplikasi telefon pintar. Setibanya di mesin ia akan mengimbas mata pengguna sebelum mengeluarkan wang. Kad ATM tidak diperlukan untuk melakukan transaksi. Selain imbasan mata mesin Irving boleh mengeluarkan wang menggunakan NFC dan membaca kod QR yang turut dijana menggunakan aplikasi peranti pintar.

Adakah ini masa depan mesin ATM di masa hadapan? Tiada lagi kad plastik perlu dibawa atau pin untuk dihafal? Pada pendapat anda adakah ini menjadikan pengeluaran wang menggunakan ATM lebih selamat berbanding sekarang?

Diebold Irving ATM imbasan 2

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd