Sony Menegaskan PS 4 Tidak Akan Diberikan Kemampuan Memainkan Permainan PS3
Artikel Berkaitan

Sony Menegaskan PS 4 Tidak Akan Diberikan Kemampuan Memainkan Permainan PS3

Diterbitkan pada Okt 29, 2015 oleh .

Fungi memainkan permainan generasi lama pada konsol generasi baru (backward compatability) ialah fungsi menarik yang diuar-uarkan oleh Microsoft pada konsol Xbox One. Senarai permainan Xbox 360 yang boleh dimainkan pada konsol terkini mereka semakin bertambah. Apabila permainan 360 dimainkan pada One, beberapa penambahbaikan diberikan seperti masa loading yang lebih pendek. Microsoft berharap fungsi ini akan memastikan mereka yang tidak pernah memiliki 360 dan kini memiliki Xbox One masih boleh menikmati permainan lama yang kini dianggap klasik.

PlayStation 4

Ini sebenarnya bukanlah fungsi baru. Pernah suatu ketika PlayStation 2 dan PlayStation 3 kedua-duanya mampu memainkan permainan dari konsol generasi sebelumnya. Pada PlayStation 4 fungsi ini langsung tidak disokong. Sejak Xbox One menyokong memainkan permainan 360, ramai pengguna PS4 berharap Sony akan membawakan fungsi memainkan permainan PS3 pada konsol mereka. Sekiranya anda adalah antara pengguna yang berharap anda akan kecewa dengan berita ini.

Presiden PlayStation, Shuhei Yoshida sekali lagi menegaskan Sony tidak akan membawa fungsi ini pada PS4. Antara sebab yang diberikan beliau ialah model awal PS3 mampu memainkan permainan PS2 tetapi mereka mendapati ianya tidak digunakan secara meluas oleh pemilik. Perbezaan sistem operasi dan pemproses yang digunakan sekarang berbanding konsol terdahulu turut menghalang fungsi ini diwujudkan pada PS4. Sony sebaliknya akan menumpukan kepada perkhidmatan penstriman PlayStation Now yang membenarkan permainan generasi lama dimainkan pada konsol generasi baru dan televisyen pintar mereka.

Sebagai pemilik kesemua konsol PlayStation, kami berharap terdapat fungsi yang merekodkan kesemua permainan yang pernah kami beli. Kesemua permainan yang pernah kami miliki ini kemudian boleh kami main secara percuma menerusi PlayStation Now. Masalah PlayStation Now sekarang ialah anda perlu membeli semula permainan yang sudah anda miliki secara digital. Adalah tidak masuk akal pengguna perlu membeli permainan sebanyak dua kali. Di dalam hal ini Microsoft nampaknya lebih peduli terhadap pelanggan mereka berbanding Sony.

 


TIPS & ULASAN