Masalah yang melanda Batman Arkham Knight versi PC nampaknya masih berlarutan sungguhpun ia sudah kembali dijual di Steam sejak semalam. Permainan ini seperti yang anda ingat mula dijual Jun yang lalu sebelum ditarik semula jualannya akibat masalah pepijat yang kronik. Beberapa patch dikeluarkan bagi memperbaiki mutu permainan dan penjualannya semula semalam adalah kerana pihak Warner Brothers Games percaya ia kini tidak lagi bermasalah.
Malangnya baru beberapa jam selepas dijual semula, pengguna PC kembali merungut kerana ada beberapa masalah tidak diselesaikan. Masalah pertama ialah pengguna Windows 10 tidak dapat bermain dengan lancarkan walaupun mempunyai RAM sebesar 8 Gigabyte. Pihak Warner Brothers kini mengesyorkan pengguna Windows 10 untuk mempunyai sekurang-kurangnya RAM sebesar 12 Gigabyte bagi menjamin kelancaran. Ini pastinya membawa kemarahan kerana spesifikasi asal Arkham Knight hanya memerlukan RAM sebesar 8 Gigbayte. Pengguna PC berspesifikasi tinggi turut merungut kerana masih tiada sokongan untuk SLI ataupun Crossfire. Kad grafik tambahan mereka kini menjadi tidak berguna kerana tidak digunakan oleh permainan ini. Terdapat juga segelintir pengguna yang melaporkan video tidak bergerak dengan lancar serta masalah lama masih lagi tidak diperbaiki.
Masalah yang menimpa Batman Arkham Knight versi PC ini adalah antara sebab mengapa kami memilih untuk bermain menggunakan konsol. Harus kami akui dari segi grafik, Batman Arkham Knight edisi PlayStation 4 yang kami miliki tidak secantik edisi PC tetapi kami berjaya menghabiskan permainan ini dalam masa dua minggu tanpa menemui sebarang masalah grafik. Bagi kami kestabilan sistem dan kesenangan menggunakan konsol adalah lebih penting dari grafik melangkaui resolusi HD.