Cari @ Amanz

Pada acara IFA 2015 September yang lalu peranti flagship Sony dalam keluarga premium telah diumumkan iaitu Sony Xperia Z5. Setelah hampir dua bulan berlalu kini Sony Malaysia telah membawa masuk 2 peranti keluarga ini untuk pasaran tempatan iaitu Sony Xperia Z5 Dual dan juga Sony Xperia Z5 Compact.

Sony Xperia Z5 Dual / Z5 Compact
Skrin 5.2″ 1080p / 4.6 720p
Pemproses Snapdragon 810 64-bit Octa Core
RAM 3GB / 2GB
Muatan Dalaman 32 sokongan MikroSD sehingga 200 GB
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.3 Exmor RS, OIS
Kamera Hadapan 5 Megapixel Exmor R
Bateri 2900 mAh / 2700 mAh
Lain-Lain Kalis Air, Pengimbas Cap Jari

Sony Xperia Z5 meneruskan tradisi peranti keluarga premium mereka, hadir dengan spesifikasi tertinggi dan merupakan yang terawal menawarkan fungsi kalis air. Kedua-dua variasi Xperia 5 ini hadir dengan kebolehan untuk menggunakan dua kad SIM, sekaligus memberikan lebih nilai dan sebab bagi pengguna memiliki peranti ini tanpa mempunyai lebih dari satu telefon pintar pada masa yang sama.

Rupa bentuk peranti Xperia Z5 ini boleh dikatakan tidak banyak berubah. Jika jenama lain berlumba-lumba menjadi ternipis di pasaran, boleh dikatakan Sony langsung tidak terkesan dengan trend sebegini. Xperia Z5 hadir dengan badan Unibody dan selain dari lubang fon telinga dan mikro-USB, ia hanya mempunyai satu ruang bukaan untuk memuatkan kad memori dan juga kad SIM.

Dari segi pemprosesan, kedua-dua telefon ini menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 810 64-bit lapan teras dan juga mempunyai RAM sebanyak 3GB. Untuk Xperia Z5 Compact, ia mempunyai RAM sebesar 2GB. Bagi tujuan storan, ia menyertakan kapasiti terbina 32GB dan boleh ditambah menerusi kad mikro-SD yang mempunyai kapasiti sehingga 200GB.

 

Bercakap mengenai kamera, untuk kedua-dua versi Z5 Dual dan juga Z5 Compact ini menyertakan kamera utama Sony Exmor RS dengan sensor pengimejan sebesar 23MP. Ia juga mempunyai Hybrid Autofocus dan juga penstabil imej optikal SteadyShot. Salah satu fungsi yang menyokong pemfokusan laju Hybrid Autofocus adalah 4D fokus, dimana menerusi algoritma khas, sensor akan meramal objek yang patut difokus. Juga untuk kedua-dua model, ia turut boleh merakam video sehingga resolusi 4K.

Meskipun untuk kedua-dua jenis Z5 Dual dan Z5 Compact mampu merakam video sehingga resolusi 4K, kedua-dua peranti ini tidak menyertakan paparan 4K sebaliknya hanya hadir dengan paparan HD penuh 1080p untuk Xperia Z5 Dual dan 720p untuk Xperia Z5 Compact. Hanya peranti Xperia Z5 Premium yang akan hadir pada November ini di Malaysia menyokong paparan 4K. Kamera pada bahagian hadapan kedua-dua peranti ini pula mempunyai sensor sebesar 5MP Sony Exmor R dan boleh merakam video HD 720p.

Mengikut trend masa kini yang menggunakan pengimbas cap jari untuk tujuan sekuriti, Xperia Z5 turut menyertakan pengimbas cap jari namun diletakkan pada butang kuasa yang terletak pada sisi peranti di bahagian tengah, posisi yang sama dengan butang kuasa yang ikonik pada telefon pintar keluaran Sony.

Antara perkara yang terpenting mengenai telefon pintar adalah keupayaan masa penggunaan bateri. Peranti Sony Xperia Z5 turut mempunyai keupayaan bateri yang dapat bertahan lama dengan satu pengecasan penuh. Walaupun dari segi kapasiti bateri ia menyertakan bateri bersaiz 2900 mAh yang mungkin boleh dikatakan kecil berbanding peranti flagship yang lain, menerusi fungsi Stamina Mode, Xperia Z5 dapat bertahan sehingga 2 hari. Terdapat juga fungsi Ultra-Stamina Mode membolehkan peranti bertahan sehingga 11 hari lamanya. Sedikit berbeza dengan Xperia Z5 Compact yang menyertakan bateri bersaiz 2700 mAh. Satu perkara yang sedikit menghairankan adalah peranti ini tidak mempunyai fungsi pengecasan pantas yang kerap diketengahkan oleh jenama lain.

xperiaz5-scr2 xperiaz5-scr1 xperiaz5-scr3

Menerusi percubaan singkat menguji peranti ini, kualiti binaan peranti ini sangat mengujakan. Meskipun tebal, perasaan memegangnya tampak premium, dan Xperia Z5 Compact adalah sedikit tebal berbanding Xperia Z5 Dual. Dari segi pengujian kamera, pemfokusan yang dilakukan pada telefon ini agak pantas. Pada acara pelancaran ini juga terdapat sesi ujian perbandingan pemfokusan imej optikal diantara Xperia Z5 Compact dan telefon pesaing. Dari tinjauan yang turut dirakamkan, memang secara jelas fungsi SteadyShot pada kamera Exmor RS berfungsi dengan sangat baik, meskipun telefon bergegar ketika merakamkan video. Berkenaan kelajuan pengimbas cap jari pula ia tidak dapat dicuba memandangkan peranti ujian dikunci dan tidak membenarkan sebarang pengubahan pada fungsi tersebut.

Sony Xperia Z5 Premium akan dijual pada bulan November dengan pilihan warna Chrome, hitam dan emas dan harga jualan untuk Xperia Z5 Premium pula dijangka diumumkan pada bulan November 2015 ini. Xperia Z5 Dual hadir dengn pilihan warna hitam, putih, emas dan hijau dan akan dijual pada harga RM2,699. Bagi anda yang sukakan peranti Z5 pada saiz yang lebih kecil dengan lebih pilihan warna, ia hadir dengan pilihan warna hitam, putih, kuning dan biru laut pada harga RM2,299.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd