Wikipedia mula beroperasi pada 16 Januari 2001. Ia adalah usaha Jimmy Wales dan Larry Sanger untuk memudahkan akses pengetahuan di dunia secara percuma kepada sesiapa yang boleh melayari internet. Kewujudan Wikipedia menyebabkan kepupusan ensiklopedia fizikal yang dahulunya popular. Ia juga mengakibatkan wujudnya bijak pandai segera yang menggunakan fakta Wikipedia dalam perdebatan atas talian. Secara ikhlas Wikipedia ialah sumber ilmu percuma yang baik walaupun kerap menjadi mangsa suntingan sesuka hati golongan tidak bertanggungjawab.
Wikipedia hari ini mengumumkan edisi bahasa Inggeris laman mereka kini mempunyai 5000808 artikel. Jumlah 5 Juta artikel dicecah awal hari ini yang ditulis mengenai Persoonia Terminalis, sebuah tumbuh-tumbuhan yang boleh ditemui di Australia. Setiap hari secara purata 700 artikel baru akan ditulis. Wikipedia juga turut mengeluarkan beberapa statistik menarik. Sebagai contoh terdapat 797414770 suntingan telah dilakukan ke atas artikel yang dihasilkan. Laman ini mempunyai 26611849 pengguna berdaftar dengan 126672 adalah pengguna aktif.
Jimmy Wales masih merasakan jumlah 5 Juta artikel ini masih lagi kecil kerana beliau percaya untuk merangkumi kesemua ilmu di dunia Wikipedia memerlukan sekurang-kurangnya 100 Juta artikel. Sebagai perbandingan Wikipedia Bahasa Malaysia mempunyai 278 512 artikel, Bahasa Indonesia mempunyai 369 014 artikel, Bahasa Cina mempunyai 846 764 artikel dan Bahasa Sepanyol pula 1 210 231 artikel.