TM Push2Email – Membolehkan Anda Menghantar Voicemail Terus Ke Emel Secara Percuma

TM Push2Email – Membolehkan Anda Menghantar Voicemail Terus Ke Emel Secara Percuma

Diterbitkan pada November 2, 2015 oleh .

Telekom Malaysia terkini dilihat menguji perkhidmatan baru mereka, dinamakan sebagai TM Push2Email. Melalui perkhidmatan ini, ia membolehkan pengguna menerima kesemua voicemail mereka terus ke emel, dan menguruskannya dengan lebih efektif lagi berbanding penggunaan biasa.

Kebiasaannya, untuk mendengar voicemail, pengguna akan diperlukan untuk mendail kembali nombor voicemail mereka dan mendengarnya. Melalui TM Push2Email, ia membolehkan pengguna menerima voicemail berkenaan dalam bentuk fail audio MP3.

TM Push2Email ini menyokong talian tetap dan juga talian mudah-alih. Untuk mengaktifkannya, pengguna hanya perlu mendaftarkan nombor telefon mereka di laman TM Push2Email, dan seterusnya menetapkan voicemail dengan mendail *002*0388910910#. Sebaik sahaja selepas ia diaktifkan, segala panggilan tidak terjawab anda akan diuruskan oleh TM Push2Email, dan anda akan menerima mesej berkenaan dalam bentuk emel.

TM Push2Email

Melalui perkhidmatan ini, selain daripada menerima voicemail, pengguna juga turut boleh menerima mesej untuk panggilan tidak terjawab. Kami telah mencuba perkhidmatan ini, dan ia berfungsi dengan pantas – dimana selepas beberapa saat panggilan ditamatkan, kami menerima emel daripada TM Push2Email bersama-sama dengan fail audio berkenaan.

Menurut wakil Telekom Malaysia, pengguna turut boleh mendaftarkan lebih daripada satu emel ketika proses pendaftaran dengan menggunakan koma (,) antara emel berbeza – sehingga tiga emel. Dengan menggunakan lebih daripada satu emel, fail audio berkenaan akan dihantar kepada emel-emel berkenaan secara automatik. Sebagai contoh, untuk telefon rumah, mungkin anda ingin ia dihantar kepada anda dan pasangan anda.

Fungsi ini juga amat berguna untuk anda yang ingin kekal berhubung. Sebagai contoh, ketika bekerja di pejabat, jika bateri telefon pintar anda kehabisan, dan anda ingin mengetahui siapakah yang menghubungi anda atau mempunyai mesej yang ditinggalkan – perkara tersebut boleh dilakukan dengan mudah, sekaligus tidak terlepas sebarang mesej penting.

Satu lagi fungsi menarik yang dibawakan oleh perkhidmatan ini adalah sokongan untuk membuat diari audio – dimana anda boleh mendail 0388910910 daripada nombor telefon yang didaftarkan, dan menghantar mesej kepada anda sendiri. Fungsi ini turut boleh diperluaskan bagi anda yang bekerja sendiri untuk mengingatkan anda perkara penting – ataupun anda turut boleh mengintegrasikan akaun emel pekerja lain untuk menyampaikan mesej audio dalam bentuk emel kepada mereka.

Bagi anda yang berminat, boleh mendaftarkan diri di laman TM Push2Email. Perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna dan tiada sebarang caj yang dikenakan.

Layari : TM Push2Email


TIPS & ULASAN