Apple kerap mengatakan sistem operasi iOS ialah antara sistem operasi mudah alih yang paling selamat di dunia. Apabila kerentanan ditemui ia akan segera diperbaiki bagi mengelakkan peranti digodam dan maklumat pengguna dicuri pihak tidak bertanggungjawab. Syarikat Zerodium tahun ini menawarkan hadiah $1 Juta kepada sesiapa yang berjaya mencari kerentanan Zero Day pada iOS. Mereka hari ini mengumumkan telah menemui pemenang yang berjaya menemui jalan belakang yang membolehkan peranti iOS 9.1 dan 9.2b digodam secara jarak jauh dengan hanya menggunakan Chrome.
Apakah cara yang dilakukan untuk menggodam peranti iOS ini tidak pula diberitahu dan mereka tidak akan berkongsi maklumat dengan Apple untuk memperbaiki masalah ini. Zerodium adalah syarikat yang menjual maklumat mengenai kerentanan kepada badan kerajaan yang menjadi pelanggan mereka. Kemampuan menggodam peranti secara jarak jauh ini sebagai contoh boleh digunakan oleh pihak NSA Amerika Syarikat untuk melakukan intipan terhadap suspek keganasan. Mereka telah lama meminta Apple untuk berkongsi “pintu belakang” yang membolehkan mereka melakukan intipan terhadap mereka yang disyaki melakukan aktiviti jenayah. Apple pula berkeras tidak akan memberikan akses sebegini kepada pihak kerajaan kerana percaya ia melanggar hak asasi pelanggan mereka. Dengan penemuan kerentanan ini pihak berkuasa kini mempunyai cara untuk mengakses peranti sesiapa sahaja dan kemudian mencuri data yang tersimpan di dalamnya.