Cari @ Amanz

Xiaomi Redmi Note 2 dilancarkan secara rasmi di Malaysia semalam. Ia adalah penambahbaikan dari model Redmi Note tahun lalu yang menurut Xiaomi mencatatkan jualan melebihi 25 Juta unit setakat ini. Malaysia juga dikatakan adalah negara yang mencatatkan jualan tertinggi Redmi Note di luar China. Kami memberikan Redmi Note 4G markah ulasan 7/10. Ini adalah markah yang boleh katakan baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga di bawah RM 600 sebuah. Dengan pelancaran Redmi Note 2, adakah ia masih berbaloi untuk dimiliki? Adakah Redmi Note 2 akan memegang takhta phablet mampu milik yang paling berbaloi untuk dimiliki? Sebelum ulasan penuh dihasilkan kami akan memulakannya dengan pandang pertama,

Xiaomi Redmi Note 220151104_135244

Spesifikasi & Rekaan

Xiaomi Redmi Note 2
Skrin 5.5″ IPS LCD FHD (400 ppi)
Pemproses 2 GHz Lapan Teras MediaTek Helio X10
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 32 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 FHD
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.0 FHD
Bateri 3060 mAh
SIM/Telefoni Dwi MikroSIM/ 4G
NFC Tiada
Infra Merah Ya
Harga Jualan RM 649

Dari segi rekaan beberapa perubahan kecil dilakukan berbanding tahun lalu. Skrin peranti masih lagi 5.5″ IPS LCD tetapi kali dengan resolusi dipertingkat kepada HD Penuh berbanding hanya 720P sebelum ini. Dari hadapan perbezaan dari segi rekaan tidak kelihatan. Ia masih menggunakan tiga butang navigasi kapasitif pada bahagian dagu. Butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan butang back pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang mempunyai sokongan lampu bagi memudahkan proses navigasi pada waktu malam.

Pemproses 2.0 GHz lapan teras MediaTek Helio X10 digunakan.Kelapan-lapan teras berfungsi pada frekuensi yang sama. Ini meletakkan Redmi Note 2 sebagai sebuah peranti dengan spesifikasi sederhana tinggi. Peranti lain di dalam kategori ini ialah HTC One E9+ yang memasuki pasaran tempatan Julai lalu. Pemproses ini digabungkan dengan RAM sebesar 2 Gigabyte dan memori dalaman 16 Gigabyte. Sokongan penambahan dalaman adalah sehingga 32 Gigabyte menggunakan kad MikroSD.

Peranti ini mempunyai dua slot untuk SIM Mikro dan menyokong rangkaian LTE. Kedua-dua slot SIM masih boleh digunakan walaupun anda menggunakan kad MikroSD kerana ia tidak berkongsi dengan slot penambahan memori dalaman.

Kemampuan optik tahun ini masih sama iaitu kamera 13 Megapixel f/2.2 pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Kamera belakang kini mempunyai sistem pemfokusan PDAF yang pantas. Aneh sekali Redmi Note 2 hanya mampu mengambil video pada resolusi maksimum 1080P. HTC One E9+ yang kami katakan menggunakan pemproses yang sama mampu mengambil video pada resolusi 4K. Mengapa resolusi lebih tinggi tidak disokong tidak kami ketahui.

 

Butang kuasa dan suara masih di posisi sama pada sebelah kanan tubuh peranti. Tiada apa-apa pada sebelah kiri manakala port pengecasan MikroUSB terletak di bahagian bawah. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala 3.5mm dan pemancar infra merah. Penggunaan pemancar infra merah ini ialah fungsi baru yang tidak wujud pada model terdahulu. Agak menarik Xiaomi mampu menyertakan sebuah pemancar infra merah pada Redmi Note 2 sedangkan Samsung tidak menyertakannya pada Galaxy Note 5 yang dijual pada harga jauh lebih mahal.

Pada bahagian belakang terdapat sebuah pembesar suara mono.Jika dilihat pada kekisi yang digunakan kami menyangka pembesar suara ini adalah besar.Tetapi apabila panel belakang yang diperbuat daripada plastik dibuka ia mempunyai saiz yang sama seperti tahun lalu cuma posisinya diubah ke bahagian tengah. Bercakap tentang panel belakang, tahun ini kemasan yang digunakan adalah sedikit kasar. Ini sedikit sebanyak memastikan peranti tidak mudah tergelincir berbanding versi tahun lalu yang mempunyai kemasan yang berkilat.

Secara keseluruhan perubahan yang dilakukan tidaklah besar. Peranti adalah lebih mudah dipegang berbanding lelaran tahun lalu.Tubuh yang lebih nipis berbanding tahun bukan sahaja memudahkan genggaman, malahan ia juga lebih selesa diletakkan di dalam poket. Ia mungkin sebuah peranti yang diperbuat daripada bahan plastik yang kini semakin tidak popular, tetapi ia masih sebuah peranti yang menarik dari segi rekaan.

Antaramuka MIUI7

Android 5.0.2 digunakan dengan antaramuka MIUI 7 yang terkini. Dari segi rekaan MIUI adalah antaramuka yang pihak ketiga yang tercantik di pasaran sekarang. Ia banyak menggunakan rekaan minimalis dan rata yang selari dengan rekaan Material Design yang digunakan oleh Google. Seperti kebanyakan antaramuka dari China, MIUI tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi yang dimuat turun akan dipaparkan pada skrin hadapan.

Terdapat beberapa fungsi baru diperkenalkan dengan lelaran MIUI terkini ini. Pertama sekali Xioami mengatakan ianya 30% lebih pantas berbanding versi sebelum ini. Terdapat juga sistem penjimatan penggunaan bateri. Ini adalah penting kerana pemproses MediaTek Helio X10 memang terkenal dengan kemampuannya menghabiskan bateri dengan pantas. Selain dua fungsi di atas terdapat juga fungsi Baby Album yang dapat mengesan wajah anak anda dan kemudian menghasilkan folder khas untuk mereka. Perisian Baby Album kemudian boleh menunjukkan perkembangan anak anda dari masa ke semasa. Bercakap tentang bayi kini wujud juga sokongan Child Mode, mod anak-anak yang menghadkan akses kepada beberapa aplikasi tertentu sahaja apabila ia diaktifkan. Fungsi ini bukanlah baru bagi peranti lain tetapi ia diperkenalkan buat pertama kalinya untuk peranti Xiaomi melalui MIUI7.

Fungsi-fungsi lama masih lagi dikekalkan. Sebagai contoh fungsi penggunaan sebelah tangan yang membolehkan paparan kelihatan seperti peranti bersaiz 3.5 – 4.5″ masih lagi disertakan. Jika anda gemar melakukan perubahan tema, fungsi Themes terbina membolehkan antaramuka diubah mengikut kehendak anda. Terdapat puluhan tema yang boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Themes. Akhir sekali kami turut menyedari segalanya lebih pantas pada Redmi Note 2 berbanding edisi tahun lalu. Jadi setakat ini kami menyukai segala penambahbaikan dari segi kelancaran peranti dan juga fungsi tambahan MIUI 7.

Seperkara lagi yang ingin kami sentuh ialah jumlah aplikasi terpasang pada MIUI7 juga adalah sedikit. Sekiranya anda benci peranti yang mempunyai banyak aplikasi terpasang, Redmi Note adalah peranti yang harus memasuki senarai pendek anda.

Xiaomi-Redmi-Note-2-ss1Xiaomi-Redmi-Note-2-ss2 Xiaomi-Redmi-Note-2-ss3

Kesimpulan

Xiaomi Redmi Note 220151104_134706Dari pengalaman menggunakan peranti ini selama beberapa jam kami menyukai apa yang kami lihat.Peranti berfungsi dengan amat pantas dan lancar. Jauh lebih lancar berbanding Xiaomi Redmi Note 2 yang kami miliki sebelum ini. MIUI7 juga menambah beberapa fungsi menarik pada masa yang sama mengekalkan pelbagai fungsi lama yang kami gemari. Perubahan dari segi kelancaran dan kepantasan sangat dirasai oleh kami pada model terkini ini.

Perubahan dari segi rekabentuk mungkin hanya sedikit tetapi memberikan impak yang besar kepada penggunaan harian. Tubuh yang lebih nipis dan panel belakang yang kini mempunyai kemasan agak kesat memastikan masalah peranti yang mudah terlepas dari genggaman dapat diselesaikan. Ini juga memastikan ia lebih mudah disimpan di dalam kocek seluar.

Kemampuan memproses yang cukup berkuasa dan kemampuan optik yang menarik bagi sebuah peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga di bawah RM700. Sekali lagi Xiaomi menunjukkan kepada pengeluar lain bahawa adalah tidak mustahil untuk menghasilkan peranti mampu milik dengan spesifikasi yang memuaskan.Kami menerima banyak persoalan mengenai hayat bateri yang dikatakan agak pendek. Memandangkan ini hanya pandang pertama, kami akan menyentuh isu ini di dalam ulasan penuh kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd