Parlimen yang bersidang semalam menyaksikan beberapa persoalan yang ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dijawab oleh Timbalan Menteri, termasuk salah satunya adalah berkenaan dengan harga domain .MY di Malaysia.
Menjawab mengenainya, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengatakan, “Harga semasa domain .MY ialah RM80 setahun. Harga tersebut meliputi sokongan penyelengaraan dan sokongan teknikal yang disediakan kepada pengguna .MY tanpa sebarang caj tambahan”.
Daripada harga yang diberikan kementerian, ia dilihat memfokuskan kepada harga jualan domain .com.my, .net.my dan .org.my yang sedia ditawarkan pada harga RM80 setahun – tetapi seperti biasa, pengguna boleh mendapatkan ia pada harga lebih rendah melalui beberapa penjual lain.
“Berdasarkan perbandingan harga dari kalangan pentadbir nama domain negara-negara sekitar seperti Indonesia (.co.id) lebih kurang RM36, Singapura (.com.sg) RM169, Thailand (.co.th) RM104 – didapati harga domain Malaysia adalah kompetitif – iaitu sekitar RM80”.
Kerajaan mengatakan mereka berharap untuk mengekalkan harga jualan semasa, namun kajian berkala berkenaan dengannya akan dilakukan dari semasa ke semasa.
Bagi kami, ramai yang masih tidak menggunakan domain .MY pada hari ini, salah satu sebabnya adalah penggunaan sistem pengurusan oleh domain .MY tersebut sendiri yang mana kurang mesra pengguna dan ramai yang sering keliru ketika menggunakan sistem berkenaan. Kami telah mendengar mengenai proses untuk menambah-baiknya beberapa kali sebelum ini, tetapi ia masih lagi seperti asal buat masa ini.