Cari @ Amanz

Di pasaran sekarang terdapat pelbagai permainan dengan kemampuan grafik 3D yang tinggi. Sungguhpun begitu permainan klasik dengan grafik voxel masih lagi diminati oleh pengguna yang agak berusia seperti kami. Ini terbukti dengan sambutan luar biasa muat turun percuma Command and Conquer Red Alert 2 dan Yuri’s Revenge menerusi Origin bulan September yang lalu. Sambutan luar biasa ini mengakibatkan pelayan Origin mengalami bebanan berlebihan dan muat turun percuma dihentikan seketika. Malang sekali kebanyakan permainan klasik yang kami gemari tidak boleh dimainkan pada komputer moden kerana kekurangan sokongan dari pengeluar. Apabila ia cuba dimainkan akan berlaku masalah ia gagal dilancarkan ataupun tiada sokongan audio.

Blizzard-Starcraft-Diablo-Warcraft

Menyedari permainan lama mereka masih dimainkan jutaan peminat, Blizzard dilaporkan bakal menghasilkan semula permainan Starcraft, Diablo II dan Warcraft III. Mereka baru sahaja mengiklankan jawatan di dalam bahagian permainan klasik di laman rasmi mereka. Bahagian baru ini akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan permainan klasik akan terus mendapat sokongan untuk komputer generasi baru. Mereka juga akan melakukan penambahbaikan grafik serta memperbaharui sistem permainan atas talian.

Terdapat juga spekulasi bahawa ini juga mungkin petanda tiga permainan klasik ini mungkin dihasilkan untuk peranti mudah alih Android serta iOS. Pembelian King Digital yang menghasilkan Candy Crush Saga oleh Activision Blizzard tempohari menguatkan lagi ura-ura versi platform mudah alih mungkin akan dihasilkan. Blizzard dijangka akan melakukan pengumuman mengenai tiga permainan ini di BlizzCon yang akan bermula esok. Sebagai peminat tegar Diablo II kami sangat tertarik dengan kemungkinan dapat bermain permainan ini di atas tablet.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd