Cari @ Amanz

Isu berkaitan dengan rokok elektronik atau vape agak hangat diperkatakan akhir-akhir ini, apatah lagi dengan kerajaan yang sebelum ini mengatakan ingin mengharamkannya. Terkini, hari ini kerajaan mengatakan ingin mengkaji untuk mengenakan duti eksais terhadap rokok elektronik memandangkan ia mengandungi nikotin yang merupakan bahan terkawal.

Selain daripada itu, bahan perisa rokok elektronik yang mengandungi nikotin juga dikatakan tidak boleh dijual secara meluas, sebaliknya perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum menjualnya. Nikotin adalah barangan kawalan di bawah Akta Racun dan penjualnya mestilah memohon permit jualan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dari segi definisi, kerajaan menggunakan perkataan rokok elektronik apabila ia digunakan bersama-sama bahan perasa mengandungi nikotin, sebaliknya vape jika tiada.

Kerajaan ingin mengawal penggunaan rokok elektronik tetapi tidak untuk vape. Walaubagaimanapun, ia dinasihatkan supaya pengguna tidak mengambil dan menggunakan kedua-duanya.

Kerajaan tidak begitu gembira dengan budaya baru ini yang semakin meluas dikalangan anak muda hari ini – yang mana sekaligus memberikan gambaran ia tidak bersalah untuk merokok. Walaupun kesannya tidak diketahui buat masa ini, namun untuk jangka masa panjang, ia mungkin membawakan kesan negatif terhadap tubuh badan.

Untuk mereka yang menggunakannya sebagai langkah berhenti merokok, mereka turut dinasihatkan untuk menerima nasihat daripada doktor dalam mengawal ketagihan merokok mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd