Puluhan Ribu Aplikasi Android Didapati Dijangkiti Adware

Puluhan Ribu Aplikasi Android Didapati Dijangkiti Adware

Diterbitkan pada November 6, 2015 oleh .

Puluhan ribu aplikasi Android didapati dijangkiti adware. Masalah ini ditemui oleh firma Lookout Security dan ia menjangkiti aplikasi popular seperti Twitter, Facebook, Snapchat dan Instagram. Adware ini mampu mengakses sistem di peringkat root dan kemudian mempamerkan iklan pada peranti tanpa kebenaran pengguna. Masalah besar adware ini ialah ia tidak mudah dibuang oleh pengguna biasa dan mungkin mengakibatkan mereka harus membeli peranti baru.

Android Malware

Kesemua aplikasi yang dijangkiti adware ini dimuat turun melalui pasaran pihak ketiga dan bukannya melalui Google Play Store. Sekiranya anda hanya memuat turun aplikasi melalui Play Store anda tidak perlu risau tentang keselamatan peranti anda. Kesemua aplikasi bermasalah ini hanya ditemui pada APK yang dimuat turun diuar Play Store. Apa yang berlaku ialah APK asal pembangun aplikasi telah diubah suai oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan kod untuk adware seperti Shuanet, Kemoge, Shudun dan GhostPush. Kesemua adware ini kemudian mempamerkan iklan yang akan memberikan keuntungan atas angin kepada mereka.

Jadi kepada anda yang gemar memuat turun APK secara haram, ada kemungkinan peranti anda sudah dijangkiti adware ini. Kami menasihatkan pembaca Amanz untuk hanya memuat turun aplikasi dari sumber rasmi. Memuat turun APK secara haram mungkin menjimatkan wang anda tetapi terbukti akan turut mendedahkan diri anda kepada masalah sekuriti seperti ini.


TIPS & ULASAN