Komuniti NextBank KL Dilancarkan – Memfokuskan Acara FinTech Tempatan

Komuniti NextBank KL Dilancarkan – Memfokuskan Acara FinTech Tempatan

Diterbitkan pada November 7, 2015 oleh .

Dunia teknologi merupakan satu dunia yang luas. Hampir semua industri mempunyai teknologi yang tersendiri dan tahun ini salah satu istilah yang hangat dalam arena teknologi tempatan ialah FinTech iaitu teknologi perbankan (Finance Technology). Bermula dengan Maybank antara yang terawal mewujudkan pusat inovasi khusus untuk teknologi perbankan dan hadir dengan beberapa hackathon, kini NextBank, salah satu komuniti antarabangsa memfokuskan Teknologi Perbankan telah membuka cawangan komunitinya di Kuala Lumpur.

NextBank KLKebiasaannya proses idea didalam industri perbankan memakan masa. Industri perbankan mengambil masa yang lama untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan wang dan simpanan pengguna. Namun startup dapat melakukannya dalam masa yang singkat kerana tidak mempunyai risiko yang besar dan tidak perlu melalui pelbagai pengesahan dari pihak yang mengawal. Menerusi kerjasama antara startup dan industri perbankan, startup dapat bereksperimen dengan teknologi perbankan baru manakala pihak bank dapat memberikan dana serta sudah mempunyai jutaan pengguna yang bersedia untuk menggunakan produk mereka. Jika terdapat pelbagai startup yang memfokuskan arena seperti perkhidmatan, pengangkutan, startup yang bergiat didalam teknologi perbankan dipanggil FinTech Startup.

Sebagai komuniti antarabangsa yang bebas, NextBank telahpun wujud selama di 6 kawasan utama di seluruh dunia, dan pelbagai seminar serta bengkel diadakan oleh mereka. Seperti komuniti TEDx yang menganjurkan acara perkongsian ilmu berkaitan idea dan teknologi, NextBank juga mempunyai penawaran acara yang sama. Untuk masa akan datang, komuniti NextBankKL akan mengadakan pelbagai aktiviti dalam menghubungkan startup dan juga pengguna kepada teknologi perbankan. Menerusi aktiviti tersebut, startup juga dapat bertemu dengan penggiat industri perbankan dan berupaya bukan sekadar untuk berkongsi pendapat dan idea, malah mungkin menyelesaikan permasalahan yang wujud dalam industri perbankan.

Untuk masa terdekat, NextBank KL akan mempunyai slotnya tersendiri di acara 1AES yang akan berlangsung pada 16-22 November dan jika anda startup yang mempunyai idea berkaitan teknologi perbankan, anda boleh hadir berjumpa dengan mereka. Untuk lebih perkongsian mengenai aktiviti mereka, layari halaman twitter @NextBankKL


TIPS & ULASAN