World Robot Olympiad ialah acara robotik yang berlangsung setiap tahun. Ia adalah pertandingkan yang menguji kemahiran membina robot yang kemudian bertanding di dalam empat kategori iaitu Regular, Open, College dan WRO Soccer. Acara ini sudah berlangsung sejak tahun 2004 dan Malaysia saban tahun tidak pernah ketinggalan untuk menghantar wakil. Tahun ini ia diadakan di Doha dengan tema Robot Explorers dan berlangsung dari 6 sehingga 8 November yang lalu. Malaysia berjaya menjadi juara keseluruhan selepas merangkul tiga pingat emas, dua pingat perak dan dua anugerah khas. Kontingen Malaysia dianggotai 57 peserta dari 19 pasukan.Tiga pasukan yang memenangi pingat emas ialah pasukan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya ,Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Subang Jaya dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah.
Ini adalah kali ke-7 Malaysia berjaya menjadi juara keseluruhan WRO. Pasukan negara mengalahkan pasukan dari 43 lagi negara peserta. Ini adalah kejayaan yang boleh dibanggakan kerana menunjukkan negara kita mempunyai bakat membina robot bertaraf dunia. Harapannya ialah kejayaan di WRO akan menjadi batu loncatan untuk menjadikan Malaysia kuasa besar dunia robot di masa hadapan.