GrabTaxi, atau dikenali sebagai MyTeksi di Malaysia merupakan salah satu syarikat teknologi yang berjaya, menawarkan kemudahan untuk pengguna membuat tempahan teksi atau kenderaan untuk dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Mereka telah sedia menerima dana mencapai berbilion ringgit, dan kini sedang menguji sebuah fungsi baru dinamakan GrabHitch.
Fungsi dinamakan GrabHitch ini sedang diuji di Singapura sahaja buat masa ini, dimana melaluinya ia membolehkan pengguna aplikasi GrabTaxi berkongsi kenderaan persendirian mereka ke sesuatu lokasi yang sama.
Sebagai pemilik kenderaan atau pemandu, jika anda hanya memandu ke sesuatu lokasi berseorangan, melalui GrabHitch ini, anda boleh membuka kenderaan anda untuk turut disertai penumpang lain – sekaligus mengurangkan kos anda ke sesuatu lokasi. Melalui GrabHitch, anda boleh menerima imbuhan dari segi duit minyak, selain turut menemui rakan-rakan baru melaluinya.
Pemilik kenderaan dilihat akan perlu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk tujuan keselamatan sebelum menawarkan perkhidmatan mereka melalui GrabHitch. Pihak GrabTaxi menyertakan beberapa integrasi sosial dalam memastikan penumpang dan pemandu mempunyai kegemaran yang lebih kurang sama atau menuju ke lokasi yang berhampiran.
GrabHitch ini dijangka akan menawarkan harga yang lebih rendah berbanding penggunaan GrabTaxi biasa – sekaligus menguntungkan kedua-dua pihak, penumpang mahupun pemandu.
Buat masa ini, GrabHitch ini dilihat diuji di Singapura sahaja, dan tidak diketahui bilakah ia akan diperluaskan ke negara-negara lain, termasuk Malaysia.