Cari @ Amanz

Mozilla telah cuba memasarkan Firefox OS sejak beberapa tahun lepas, namun, penerimaannya masih tidak begitu menyeluruh. Firefox OS ialah salah satu sistem operasi yang lebih memfokuskan kepada penggunaan aplikasi berasaskan HTML5. Beberapa peranti menggunakannya telah terdapat di pasaran luar negara, dan lebih memfokuskan kepada pasaran negara-negara membangun.

Terkini, dalam membolehkan lebih ramai mencuba Firefox OS ini, pihak Mozilla telah menerbitkan aplikasi khusus untuknya, yang membolehkan pengguna menggunakan ia pada telefon pintar Android dan melihat apakah yang dibawakan olehnya. Aplikasi ini berfungsi sebagai launcher dan memberikan idea awal kepada anda berkenaan bagaimana Firefox OS berfungsi.

Firefox OS Android

Peranti yang disokong oleh Mozilla secara rasmi untuk aplikasi Firefox OS ini masih terhad, tetapi daripada percubaan kami, ia boleh dijalankan pada beberapa peranti lain tanpa masalah.

Bagi kami, kami agak kurang mengemarkannya buat masa ini, memandangkan ia membawakan saiz ikon yang sangat besar, dan beberapa kekangan dari segi aplikasi – serta agak kurang lancar untuk digunakan. Namun, perkara ini mungkin dijangka, memandangkan ia sendiri dilabelkan sebagai Developer Preview buat masa ini.

Jika anda berminat, mungkin boleh memuat-turun Firefox OS 2.5 Developer Preview untuk Android hari ini, dan memasangnya secara manual pada peranti anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd