Carian
Cakera Filem Ultra HD Blu-Ray Akan Mula Dijual Awal 2016
November 12, 2015 Effi Saharudin

Ogos yang lalu kami melaporkan cakera Blu-Ray dengan filem beresolusi 4K UHD akan mula dijual pada hujung tahun ini. Ini adalah bagi mendapatkan jualan tinggi ketika musim perayaan Krismas. Nampaknya wujud penangguhan di dalam jadual penjualan cakera filem Ultra HD Blu-ray (UHDBD). Sony hari ini baru sahaja mengumumkan secara rasmi jualan filem UHDBD akan hanya dilakukan awal tahun hadapan dengan enam filem keluaran Sony Pictures. Filem yang terpilih ialah The Amazing Spider-Man 2, Salt, Hancock, Chappie, Pineapple Express dan The Smurfs 2.

Ultra-HD-Blu-Ray

Pada waktu yang sama pihak Sony mempunyai perancangan mengeluarkan UHDBD untuk filem Fury, Captain Phillips, Crouching Tiger, Hidden Dragon, Men In Black, Ghostbusters, The Fifth Element, Bad Boys, The Da Vinci Code, Bram Stoker’s Dracula, Leon: The Professional, Lawrence Of Arabia, The Bridge on the River Kwai, The Guns of Navarone, Taxi Driver dan Mr. Smith Goes to Washington. Kesemua filem-filem ini sedang menjalani proses naik taraf visual ke resolusi 4K. Penjualan UHDBD ini sudah lama dinantikan pemilik televisyen UHD yang dahagakan visual yang setanding dengan kualiti paparan televisyen milik mereka.

Pemain UHDBD hanya diperlihatkan kepada umum pada pameran IFA 2015 yang berlangsung September lalu. Agak aneh televisyen dengan kemampuan UHD sudah lama wujud tetapi pemain media yang menyokong nya masih belum terjual kepada umum. Persoalannya sekarang masih adakah permintaan untuk filem yang dijual secara fizikal di dalam dunia yang kini dimonopoli perkhidmatan penstriman video?

Komen