4 Laptop MSI Gaming Series Kini Hadir Dengan Intel Skylake
MSI

4 Laptop MSI Gaming Series Kini Hadir Dengan Intel Skylake

Diterbitkan pada November 12, 2015 oleh .

Sejak pengumuman cip pemprosesan terbaru dari Intel keenam iaitu Intel Skylake, banyak jenama telah membawakan produk baru dan kemaskini bagi komputer mereka. MSI, jenama komponen komputer yang sinonim dikalangan pengguna pada hari ini telah mengemaskini 3 komputer riba MSI Gaming Series yang dilengkapi cip pemprosesan Intel Skylake terbaru untuk pasaran tempatan dan turut hadir dengan 1 model baru dibawah nama Phantom.

Untuk kemaskini komputer riba dengan cip terbaru Intel Skylake, siri GT72 Dominator Pro G hadir dengan cip pemprosesan Intel Core i7 6820HK atau Intel Core i7 6700HQ serta kad grafik Nvidia GeForce GTX 980M atau 970M. Bagi siri ini ia juga turut membawakan Nvidia G-Sync. Bagi siri GS70 Stealth dan GS60 Ghost, ia hadir dengan cip Intel Core i7 6700 HQ dengan kad grafik Nvidia GeForce GTX 970M 3GB DDR5 dan 16GB RAM DDR4. Bagi siri GE 62 / GE 72 Apache Pro, ia juga hadir dengan cip Intel Core i7 6700 HQ dengan kad grafik Nvidia GeForce GTX 970M atau 960M.

MSI Gaming Series -IMG_7724

Salah satu komputer riba terbaru dari MSI yang dilancarkan adalah GS40 Phantom Series. Komputer riba bersaiz 14 inci ini dilengkapi cip pemprosesan Intel Core i7 6700HQ dan kad grafik Nvidia GTX 970M 3GB DDR5. Berbanding model lain, model ini mempunyai saiz yang lebih kecil dan juga lebih ringan, seringan 1.6kg. Ia hadir dengan RAM sebesar 16GB DDR4 serta kapasiti storan 256GB SSD dan 1TB HDD. Pada harga RM 8,499 termasuk GST, ia turut disertakan dengan jaminan selama 2 tahun.

Kesemua komputer riba dalam siri MSI Gaming Series ini beroperasi menggunakan Windows 10 dan papan kekunci yang dibangunkan oleh SteelSeries serta turut disertakan dengan beberapa fungsi khusus yang dibangunkan MSI. Salah satunya adalah kombinasi aplikasi Killer Doubleshot Pro dan Killer Shield yang membolehkan penstriman langsung semasa memainkan permainan video dilakukan tanpa mengganggu prestasi komputer tersebut. Ia boleh dikatakan seumpama mempunyai cip pemprosesan kedua pada PlayStation 4 yang bertugas untuk merakam video. Satu lagi aplikasi yang turut disertakan untuk pengguna adalah XSplit Gamecaster yang membolehkan pengguna memasukkan rakaman pengguna semasa memainkan video, dan aplikasi tersebut akan meletakkan rakaman tersebut pada rakaman permainan yang dilakukan. Aplikasi ini diberikan secara percuma untuk tempoh 12 bulan.

Jika anda mencari laptop yang keperluan khusus untuk permainan video, boleh dikatakan komputer riba MSI Gaming Series ini mempunyai penyelesaian menyeluruh menerusi pelbagai spesifikasi dan aplikasi yang disediakan pada komputer riba ini. Ia boleh didapati di kedai-kedai utama seluruh Malaysia dan jaminan selama 2 tahun turut disediakan untuk komputer riba berkuasa ini.


TIPS & ULASAN