Jika anda menonton sembang lebat anda pasti tahu kami bukan peminat jam tangan pintar. Beberapa jam tangan pintar yang kami ulasan dan gunakan sejak tiga tahun kebelakangan ini gagal mengagumkan kami. Apple Watch yang sepatutnya menjadi pemangkin jualan jam tangan pintar juga kami rasakan masih belum berbaloi untuk dimiliki. Jadi apabila Samsung Gear S2, jam tangan pintar generasi ketiga Samsung tiba di makmal Amanz kami bersedia untuk dikecewakan sekali lagi.
Ya rekaan skrin bulat tahun ini memang menarik tetapi adalah rupa dapat menutup kelemahan? Ya bazel berputar sebagai mekanisme kawalan memang inovatif tetapi adakah inovasi ini sudah cukup membuatkan penggunaan peranti lebih mudah? Jawapan kepada kesemua persoalan ini akan kami jawab di dalam ulasan penuh di bawah
Spesifikasi
Samsung Gear S2 | |
---|---|
Skrin | 1.2″ SAMOLED (302 PPI) |
Pemproses | 1 GHZ Dua Teras Exynos 3250 |
RAM | 512MB |
Muatan Dalaman | 4 Gigabyte |
Bateri | 250 mAh/ Tiada pengecasan pantas |
SIM/Telefoni | Tiada |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 1399 |
Setahun sudah berlalu sejak pertama kali kami menggunakan jam tangan pintar keluaran Samsung. Samsung Galaxy Gear ialah percubaan awal Samsung untuk menguasai pasaran jam tangan pintar. Ia dikeluarkan bersama Galaxy Note 3. Anda tidak boleh berjalan di sekitar Kuala Lumpur tanpa melihat iklan gergasi kedua-dua peranti ini terpampang di seluruh ibu kota.
Di dalam ulasan Samsung Galaxy Gear kami merungut hayat jam tangan ini terlalu pendek, tali jam yang tidak selesa, antaramuka kurang mesra pengguna dan ia tidak boleh ditambat kepada peranti bukan Galaxy. Tidak mengejutkan jualan jam tangan pintar ini tidak berapa memberangsangkan. Kekurangan teknologi pada waktu itu menjadikan peranti pelopor ini gagal memenuhi impian pengguna. Kami mahukan sebuah komputer mini dengan fungsi ala Dick Tracy. Yang kami terima ialah jam tangan mahal dengan fungsi terhad dan hayat penggunaan terlalu pendek.
Dengan Gear S2 kami mendapati hampir kesemua masalah ini dapat diselesaikan. Kali ini ia dilengkapi skrin bulat 1.2″ SAMOLED dengan resolusi 320×320 pixel. Diperkasakan pemproses 1GHz dua teras Exynos 3250, RAM sebesar 512 Megabyte dan muatan dalaman 4 Gigabyte.Tiada sokongan kamera tetapi peranti dilengkapi sistem Bluetooth 4.1, NFC, WiFi, pengimbas nadi, accelerometer, gyrometer dan barometer. Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri sebesar 250 mAh. Ia turut mempunyai ketahanan kalis air IP68. Sistem operasi Tizen dikekalkan penggunanya sama seperti pada Gear S asal.
Di atas kertas tiada perubahan yang besar dilakukan dari segi rekaan dalaman. Kesemuanya hampir serupa dengan Gear S tahun lalu. Perubahan kali ini lebih kepada rekaan luaran dari skrin gergasi empat segi kepada bulat dengan sistem kawalan bezel yang berputar.
Rekaan
Gear S2 ialah jam tangan pintar pertama Samsung dengan skrin bulat. Tidak seperti jam tangan pintar berskrin bulat yang lain, Gear S2 mempunyai sistem kawalan bezel yang berputar. Ini ialah jawapan Samsung kepada sistem punat berputar yang digunakan pada Apple Watch. Keseluruhan bazel berputar seperti roda untuk memudahkan anda mengakses aplikasi, menu dan juga melihat notifikasi pada peranti.
Peranti dibuat menggunakan gabungan bahan logam dan plastik. Tubuh dan bazel diperbuat daripada logam aluminium manakala tali jam diperbuat daripada plastik. Dua pasang tali jam disertakan dengan pembelian Gear S2. Satu bersaiz besar dan satu lagi bersaiz kecil. Penukaran tali dilakukan sepuluh saat kerana anda hanya perlu menolak pengunci plastik di bahagian belakang peranti.
Pada bahagian kanan Gear S2 terdapat dua butang fizikal. Butang pertama yang lebih kecil adalah butang home yang mengembalikan anda kepada paparan jam dari mana-mana skrin. Butang kedua yang lebih besar berfungsi sebagai butang back untuk mengembalikan anda kepada menu sebelumnya. Pilihan pada skrin dilakukan dengan menyentuh skrin seperti menggunakan peranti pintar biasa.
Kami sudah menggunakan Gear S2 selama dua minggu dan kami merasakan ianya jam tangan pintar Samsung yang paling selesa pernah kami gunakan. Tiada masalah tali mencengkam kulit kerana terlalu keras seperti yang dialami pada Galaxy Gear. Ianya juga tidak terlalu berat sehingga menyukarkan kami untuk menaip. Seperti individu yang tidak berapa menggemari memakai jam tangan, kami cukup selesa dengan rekaan keseluruhan Gear S2.
Tizen
Sistem operasi Tizen yang digunakan mempunyai rekaan antaramuka minimalis dan mudah difahami. Ketika kali pertama Gear S2 dipasang, anda perlu memuat turun aplikasi Gear Manager menerusi laman web khas. Aplikasi ini tidak boleh ditemui di Google Play Store. Menerusi laman khas ini anda akan mengetahui sama ada peranti anda disokong oleh Gear S2. Menurut Samsung, Gear S2 boleh digunakan oleh mana-mana peranti Android 4.2 keatas dengan RAM 1.5 Gigabyte. Ini adalah berbeza dengan jam tangan pintar mereka yang sebelum ini hanya boleh digunakan bersama peranti keluarga Galaxy sahaja.
Kami menggunakan sebuah Galaxy S6 Edge+ sepanjang tempoh ulasan. Ia berfungsi dengan cukup baik sekali tanpa sebarang masalah. Tetapi apabila kami cuba menggunakan Gear S2 dengan peranti Xiaomi, Sony, Asus dan HTC yang kami miliki kami diberitahu aplikasi Gear Manager tidak menyokong peranti yang kami miliki. Sokongan untuk iOS hanya akan dilakukan pada penghujung 2015. Ketidakserasian aplikasi Gear Manager untuk digunakan oleh peranti keluaran pengeluar lain adalah mengecewakan kerana ianya dijanjikan oleh pihak Samsung ketika pelancaran.
Penggunaan
Sekiranya peranti anda disokong, Gear Manager akan menjadi hub anda boleh mengawal Gear S2 anda. Terdapat pelbagai tetapan boleh dilakukan menerusi aplikasi ini. Penukaran muka jam, tetapan notifikasi dan fungsi mencari Gear S2 ialah antara tetapan yang diberikan. Rekaan antaramuka aplikasi mudah difahami dan tidak mendatangkan sebarang masalah. Kami mendapati majoriti notifikasi untuk aplikasi popular seperti Twitter, Facebook. WhatsApp dan GMail disokong. Kesemua tetapan yang kami katakan tadi turut boleh dilakukan menerusi Gear S2.
Jadi bagaimanakah anda menggunakan Gear S2? Kesemua notifikasi pada jam boleh dibaca dengan memusingkan bazel melawan arah jam ataupun melakukan tatalan skrin ke kiri. Untuk mengakses tetapan peranti dan aplikasi terpasang pula bazel diputarkan mengikut arah jam ataupun tatalan ke kanan. Tatalan dari atas ke bawah pula akan memperlihatkan status bateri, sambungan Bluetooth, tetapan keterangan skrin dan juga tahap bunyi Gear S2. Skrin akan terpasang secara automatik apabila pergelangan tangan diputarkan dengan pantas. Skrin akan terpadam dengan sendiri selepas beberapa saat ataupun dengan menutupnya dengan telapak tangan.
Rekaan antaramuka adalah amat mudah difahami dan cukup mesra pengguna. Ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dipelajari. Apabila notifikasi diterima pada telefon pintar, ia serta merta muncul pada Gear S2 kurang sesaat selepas itu. Jadi dari pengalaman penggunaan setakat ini kami tidak lagi menemui sebarang masalah.
Kustomasi
Sebanyak 13 muka jam disertakan pertama kali peranti dihidupkan. Rekaan yang diberikan adalah terdiri daripada rekaan seakan jam analog klasik dan juga rekaan digital moden. Lebih banyak muka jam boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Gear Manager. Beberapa muka jam yang disertakan mempunyai pilihan untuk mengubah tetapan warna, reka huruf dan paparan tarikh.
Kesimpulan
Kami bukan penggemar jam tangan pintar kerana merasakan teknologinya masih belum cukup matang dan peranti pintar memenuhi kesemua keperluan harian kami. Kami sendiri mengakui bukan penggemar memakai jam kerana ia biasanya menyukarkan proses menaip ketika melakukan tugasan. Pengalaman kurang memuaskan memakai beberapa jam tangan pintar sebelum ini menjadikan kami mempunyai prejudis terhadap keperluan jam tangan pintar di pasaran.
Samsung Gear S2 setakat ini berjaya membuang prejudis kami terhadap jam tangan pintar. Ianya amat selesa dipakai dan harus diakui kelihatan amat bergaya. Tiada masalah kulit menjadi gatal ataupun terkupil akibat tali jam yang keras. Paling penting sekali penggunaan Gear S2 adalah amat mesra pengguna dan lancar. Kami tidak pernah menggunakan sistem operasi Tizen sebelum ini tetapi ianya berfungsi dengan cukup baik setakat ini. Kesemua notifikasi dapat dibaca dengan pantas. Malahan sejak menggunakan Gear S2 kami lebih pantas melakukan kerja kerana tidak perlu sentiasa melihat notifikasi pada telefon pintar. Notifikasi pada Gear S2 memudahkan kami terus melakukan kerja dan memilih apa yang ingin dibaca pada telefon pintar.
Setakat ini bolehlah kami katakan kami menyukai apa yang dilakukan oleh Samsung pada Gear S2. Ianya mungkin jam tangan pintar terbaik daripada Samsung. Untuk ulasan penuh nantikan kemunculannya pada penghujung minggu ini.