Kajian Menunjukkan Anda Akan Lebih Gembira Sekiranya Berhenti Menggunakan Facebook

Kajian Menunjukkan Anda Akan Lebih Gembira Sekiranya Berhenti Menggunakan Facebook

Diterbitkan pada November 13, 2015 oleh .

Laman media sosial Facebook ialah laman kedua paling popular di internet di belakang Google dan di hadapan Youtube. Ia kini mempunyai lebih dari 1 Billion pengguna aktif yang menggunakannya untuk memuat naik gambar, menulis apa yang terbuku di hati, berkongsi berita viral dan menjadi platform perniagaan atas talian. Namun tidak semua yang dikongsikan adalah benda yang baik. Pelbagai berita palsu yang menimbulkan kemarahan serta komen yang membuatkan putusnya persahabatan turut boleh dilihat di Facebook.

Facebook-new-logo-1

Sebuah kajian terkini menunjukkan anda akan lebih gembira sekiranya berhenti melayari Facebook. Kajian dilakukan oleh Happiness Research Institute yang berpangkalan di Copenhagen, Denmark. Seramai 1095 peserta yang mengaku melayari Facebook setiap hari mengambil bahagian di dalam kajian ini. Mereka kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan A diarahkan supaya berhenti melayari Facebook selama seminggu sementara kumpulan B boleh melayarinya seperti biasa. Selepas seminggu peserta akan disoal mengenai tahap kegembiraan mereka. Sebanyak 88% peserta kumpulan A mengaku diri mereka gembira. Hanya 81% peserta kumpulan B mengaku diri mereka gembira. Mereka juga didapati 55% lebih tertekan serta mudah marah berbanding kumpulan yang tidak melayari Facebook. Di samping itu kadar interaksi sosial, sukan dan keluar dari rumah kumpulan A juga didapati lebih tinggi.

Keputusan kajian ini sebenarnya tidak mengejutkan. Kami sendiri sudah lama tidak melayari Facebook dan memang diakui hidup terasa lebih gembira Aplikasi Facebook juga tidak kami muat turun pada peranti. Ini bukan kerana kami benci media sosial. Sebaliknya kami menyedari kehidupan peribadi tidak perlu dikongsi 24/7 dan sebenarnya tiada keperluan untuk ambil tahu kehidupan peribadi “kawan-kawan” Facebook anda. Kawan sebenar ialah mereka yang anda telefon untuk bertanya khabar, makan semeja ketika lapar dan tidak menekan LIKE pada status yang menyedihkan. Jika anda mahu lebih gembira kurangkan media sosial dan tambahkan bersosial.


TIPS & ULASAN