Penjelajahan angkasa kini menjadi fokus ramai agensi angkasa pelbagai negara, termasuk dengan pelbagai misi ke bulan dan juga planet Marikh. Terkini, Jepun mengumumkan mereka merancang untuk menghantar pendarat ke permukaan bulan menjelang tahun 2019 kelak.
Jepun merancang untuk menghantar pendarat tanpa manusia ke permukaan bulan, dan pembangunan rover berkenaan dijangka dimulakan pada tahun hadapan.
Penyertaan Jepun ini akan menjadikan mereka sebagai negara ke empat menghantar misi ke bulan. Sebelum ini, Amerika Syarikat telah menghantar angkasawan, selain Russia dan China yang masing-masing telah menghantar pendarat ke permukaan bulan.
Jepun ingin menghantar pendarat yang dapat mendarat dengan jitu – dalam lingkungan 100 meter daripada apa yang disasarkan, sekaligus menambah baik kadar kejituaan mendarat – salah satu perkara yang sukar dicapai oleh beberapa pendarat sebelum ini.
Jepun dijangka akan mengumpulkan pendapat ramai, serta menyiapkan perancangan mereka untuk misi ke bulan ini tidak lama lagi.