Carian
Halaman Facebook Alvin Tan Akhirnya Dipadam Facebook
November 14, 2015 Effi Saharudin

Alvin Tan ialah antara individu berkontroversi di dalam sejarah negara. Alvin memulakan “kerjaya” sebagai seorang pelakon dewasa yang menghasilkan video lucah kemudian memulakan kerjaya baru sebagai penghina negara paling terkemuka. Sejak berjaya melarikan diri ke Amerika Syarikat, Alvin terus memuat naik pelbagai video, status dan gambar yang mengganggu sensitiviti majoriti rakyat Malaysia.

Alvin-Tan

Paling baru, Alvin Tan telah memuat-naik gambar yang menerima kritikan ramai pengguna tempatan mahupun luar. Sekali lagi tindakan Alvin menerima kecaman pelbagai pihak dengan beberapa laporan polis dilakukan. Pelbagai ancaman diterima oleh Alvin menerusi laman Facebook tetapi, nampaknya dia tampak masih tidak memakan saman. Hari ini laman untuk peminat Alvin Tan, iaitu Alvin Yolo dipadam oleh pihak Facebook. Pengumuman ini dilakukan sendiri oleh Alvin melalui laman peribadinya beberapa jam yang lalu. Tiada alasan diberikan namun pastinya adalah hasil dari kempen melaporkan laman ini kepada Facebook kerana penghinaan agama yang melampau. Sungguhpun begitu laman peribadi Alvin Tan masih lagi beroperasi buat masa ini.

Facebook sendiri sebelum ini telah menyentuh mengenai konsep kebebasan suara, sejak daripada kes jutaan pengguna Muslim menggesa Facebook memadamkan laman yang dikatakan menghina Rasulullah. Namun, sejak kebelakangan ini Facebook tampak lebih akur kepada suara ramai pengguna yang inginkan beberapa laman yang tidak menjaga sensitiviti pengguna lain dipadam. Beberapa akun pengguna yang menyokong ISIS serta laman anti-Islam melampau telah turut dipadam oleh gergasi laman sosial berkenaan akhir-akhir ini.

Disamping itu juga, Facebook kini telah mengawal bentuk video yang dipaparkan – dimana jika ia berbentuk ganas atau mempunyai kadar sensitiviti yang tinggi, maka ia tidak dimainkan secara automatik oleh laman sosial mereka. Langkah-langkah yang dilakukan oleh Facebook ini semestinya digemari ramai pengguna seluruh dunia yang menggunakannya dalam mengikuti pelbagai kemaskini semasa rakan-rakan mereka.

Komen