Kesemua Kakitangan Apple Store Akan Diberikan Latihan Semula Berikut Insiden Perkauman Di Melbourne

Kesemua Kakitangan Apple Store Akan Diberikan Latihan Semula Berikut Insiden Perkauman Di Melbourne

Diterbitkan pada November 16, 2015 oleh .

Minggu lalu berlaku insiden yang memalukan melibatkan pekerja Apple Store di Melbourne Australia dan enam pelajar sebuah sekolah. Keenam-enam pelajar berkulit hitam tersebut dihalang dari memasuki Apple Store kerana dikhuatiri akan mencuri sesuatu. Insiden ini kemudian tersebar meluas di seluruh dunia selepas video dimuat naik ke laman Facebook. Tim Cook hari ini menulis surat rasmi mengarahkan kesemua pekerja Apple Store seluruh dunia untuk menjalani latihan semula bagi mempertingkat mutu layanan pelanggan tanpa mengira warga kulit. Latihan semula ini akan dimulakan di Australia sebelum diikuti oleh pekerja di negara lain. Apple juga sudah mengarahkan wakil mereka di Australia untuk meminta maaf secara peribadi kepada pelajar yang terlibat dan juga guru besar di mana mereka belajar. Beliau menegaskan lagi bahawa insiden berbaur perkauman ini tidak boleh diterima kerana tidak mengikuti prinsip kesamarataan yang diamalkan oleh Apple sejak sekian lama.

Apple ialah antara syarikat yang dinobatkan sebagai paling progresif dalam pengambilan pekerja dari golongan minoriti. Awal tahun ini mereka melaburkan $50 Juta bagi meningkatkan penyertaan golongan kulit hitam di dalam sektor teknologi. Mereka juga antara penyokong paling kuat gerakan kesamarataan untuk golongan LBGTQ di Amerika Syarikat. Insiden perkauman di Australia ini jelas diambil serius oleh Tim Cook kerana ia mencalarkan imej Apple. Pujian harus diberikan kepada Apple kerana cepat mengambil tindakan ke atas insiden yang cukup memalukan ini.

 


TIPS & ULASAN