Sekitar MaGIC Accelerator Programme Demo Day

Sekitar MaGIC Accelerator Programme Demo Day

Diterbitkan pada November 17, 2015 oleh .

Pada bulan Mac yang lepas Malaysian Global Innovation And Creativity Centre (MaGIC) telahpun mengumumkan MaGIC Accelerator Programme. Program selama 4 bulan ini bertujuan untuk menghimpunkan lebih dari 50 startup di rantau ASEAN dan bersama-sama membangunkan startup masing-masing dibawah satu bumbung yang sama. Model program ini mengikuti modul Startup Chile, dimana startup yang menyertai program sebegini secara tidak langsung dapat membantu antara satu sama lain, selain menerima latihan dan kursus intensif dalam tempoh tersebut.

Sebanyak 37 Startup untuk kategori Asean Startup Track telahpun berkongsi mengenai projek mereka dihadapan hadirin yang terdiri dari media, pelabur, wakil kerajaan dan rakan kerjasama yang bergiat dalam industri startup serantau. Terdapat 5 kategori bagi kesemua startup yang telah mempersembahkan projek mereka dan kebanyakannya memerlukan dana untuk maju ke peringkat seterusnya.


Kategori E-Commerce

Bloomthis

MaGIC MAP -IMG_7767

Pada masa kini, banyak pilihan langganan bagi pengguna menerima barangan secara berkala pada tarikh yang ditentukan. BloomThis merupakan startup tempatan yang hadir dengan solusi langganan bunga segar, dimana mereka boleh menghantarkan bunga dengan bungkusan yang menarik pada tarikh tertentu. Langganan sebegini semestinya memudahkan mereka yang suka menghias rumah dengan bunga segar. Dengan bungkusan mereka juga bunga yang dihantar dikatakan dapat tahan lebih lama dan tidak layu dengan begitu cepat.

Layari: BloomThis 

Cropital

MaGIC MAP -IMG_7768

Pada masa kini banyak perkhidmatan atas talian yang menyediakan pendanaan sumber terbuka. Cropital merupakan startup yang berasal dari Filipina, menawarkan pendanaan sumber terbuka yang disasarkan untuk golongan petani. Kebanyakan petani dan peladang memperoleh pendapatan yang kurang setimpal dengan jasa mereka jadi dengan dana yang diwujudkan ini mampu membantu sedikit sebanyak kualiti kehidupan mereka sekaligus menghasilkan hasil tanaman yang lebih efektif.

Layari: Cropital 

Door2Door Doctor

MaGIC MAP -IMG_7771

Startup tempatan yang telah wujud dari awal tahun ini menawarkan perkhidmatan doktor, jururawat, dan jurupulih anggota serta ahli perubatan untuk terus kerumah. Kadangkala terapat situasi dimana pesakit tidak berupaya untuk hadir ke hospital jadi startup ini menyelesaikannya. Menerusi perkhidmatan mereka juga, lebih dari 150 doktor berdaftar dan sedia berkhidmat manakala sehingga kini lebih dari 1500 tempahan telah dilakukan untuk perkhidmatan mereka.

Layari: Door2Door Doctor

FourEyes

MaGIC MAP -IMG_7789

Jika anda bukan seorang pengguna cermin mata, sudah tentu anda tahu yang cermin mata merupakan salah satu alat yang mahal. Startup yang berasal dari Filipina ini mengetengahkan produk cermin mata premium pada harga yang berpatutan. Malah mereka juga turut menyediakan pilihan buat pengguna yang membeli cermin mata, bagi mendermakan sepasang cermin mata yang sama kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Layari: Four Eyes

Golfreserv

MaGIC MAP -IMG_7773

Mungkin selama ini anda menyangka anda perlu mempunyai keahlian kelab golf untuk bermain golf. Hakikat sebenar perkara ini adalah tidak. Golfreserv merupakan startup tempatan yang membolehkan pengguna menempah untuk bermain golf di sesuatu kelab. Ini secara tidak langsung memaksimakan penggunaan kelab golf tersebut. Bagi pengguna pula, pengguna berupaya bermain golf pada harga promosi, sekaligus membolehkan seseorang mencuba sesuatu perkara baru.

Layari: Golfreserv

Good Meal Hunting

MaGIC MAP -IMG_7778

Startup dari Filipina ini menyediakan marketplace bagi suri rumah dan mereka yang tinggal dirumah untuk memasak makanan bekal yang boleh dilanggan oleh pekerja seharian. Menerusi langganan makanan sebegini, pekerja mahupun pengguna tidak perlu risau berkenaan kualiti makanan mereka yang lebih sihat. Di Filipina, lebih dari 100 juta penduduk dan sekitar 11 juta daripadanya adalah beragama Islam. Portal ini juga turut menyenaraikan penyedia makanan halal di negara tersebut.

Layari: Good Meal Hunting

iKargo

MaGIC MAP -IMG_7780

iKargo merupakan salah satu startup tempatan yang telah memulakan operasinya awal tahun lalu. Mereka hadir dengan marketplace memudahkan penyedia perkhidmatan logistik menyenaraikan perkhidmatan mereka, serta pengguna mudah untuk mencari penyedia pilihan mereka. Berbeza dengan pesaing mereka, iKargo turut menyediakan solusi pengangkutan melepasi sempadan negara, dan sehingga kini mereka juga telah beroperasi di negara lain seperti Thailand dan Indonesia.

Layari: iKargo

MilkADeal Cashback

milkadeal-cashback

Salah satu startup tempatan yang popular pada masa dahulu dengan penawaran kupon diskaun kini telah mengubah bisnes mereka. Bagi pembeli barangan atas talian semestinya sukakan diskaun dan Milkadeal menawarkan program ganjaran dimana untuk nilai yang dibelanjakan pada gedung atas talian yang popular, pengguna akan menerima semula ganjaran dalam bentuk wang.

Layari: MilkADeal Cashback

Printcious

Salah satu dilema ketika memberikan hadiah adalah proses kustomasi. Ramai pengguna inginkan kebolehan untuk membuatkan hadiah pemberian mereka lebih unik buat penerima. Startup tempatan ini menyediakan perkhidmatan percetakan diatas pelbagai material, dan menjamin kustomasi yang dilakukan mereka pada tahap yang tertinggi. Pasaran cenderahati juga besar membolehkan mereka bersaing menerusi tawaran kustomasi diatas talian dengan mudah, dan cenderahati tersebut akan terus dihantar kepada penerima.

Layari: Printcious

Skolafund

Siapa yang tidak kenal dengan startup yang berasal dari Singapura ini. Bagi yang tidak mengenalinya, Skolafund merupakan laman pendanaan sumber terbuka namun dikhususkan untuk tujuan pembelajaran. Startup ini kini telah membantu ramai pelajar dalam mendapatkan dana dan pada masa akan datang merancang untuk membolehkan individu untuk menaja seseorang pelajar seperti penajaan biasiswa.

Layari: Skolafund

Sometime

Dengan kewujudan internet, perniagaan atas talian dapat menjadikan harga sesuatu produk lebih murah. Lihat sahaja pada peranti keluaran Xiaomi yang ditawarkan pada harga terlampau murah. Sometime merupakan startup tempatan yang mencipta beg tangan yang direka unik dan berkualiti tinggi, namun ditawarkan pada harga mampu milik berbeza dengan beg berjenama yang lain. Mereka ingin menembusi pasaran serantau dalam meluaskan penawaran mereka.

Layari: Sometime

Unistay.co

MaGIC MAP -IMG_7783

Pelajar universiti kebiasannya mempunyai dilema dalam mencari rumah sewa dengan kadar yang berpatutan dan juga selesa serta teman serumah yang sesuai. Kadangkala apabila bilik sesuatu rumah disewa namun teman serumah lebih tua, atau dengan gaya hidup berlainan. Unistay.com merupakan startup tempatan yang memudahkan pencarian rumah atau bilik sewa yang disesuaikan untuk pelajar. Ini sekaligus tidak menyusahkan pelajar untuk mencari rumah sewa di halaman yang tidak menyenaraikan maklumat yang lengkap.

Layari: Unistay.co

Vlance

MaGIC MAP -IMG_7786

Banyak laman web yang menyenaraikan pekerja freelancer yang sedia berkhidmat melakukan pekerjaan anda. Pada acara ini, Vlance merupakan startup dari Vietnam yang membolehkan freelancer menyertai marketplace ini, dan juga membolehkan pengguna umum mencari freelancer berkebolehan untuk tugas yang diperlukan.

Layari: Vlance


Kategori Kandungan & Media Sosial

Flipped

Bagi anda yang bergiat sebagai pendidik, solusi pembelajaran atas talian yang wujud di internet merupakan satu sistem yang sangat diperlukan. Flipped merupakan startup dari Thailand yang telah menghasilkan platform pembelajaran atas talian dimana platform mereka secara automatik boleh menghasilkan kertas kerja tenaga pengajar dan akan berinteraksi dengan pelajar secara individual.

Layari: Flipped

iKnewIt

screenshot_645

Jika anda rasakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan satu perkara yang tidak berfaedah dan membazirkan masa, startup yang berasal dari Uruguay ini telah menghasilkan platform iKnewIt yang bertujuan untuk membincangkan dan meramal perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang secara ilmiah.

Layari: iKnewIt

IslamicTunes

Terdapat pelbagai laman hiburan yang wujud di alam maya dan mungkin kebanyakannya tidak mematuhi syariah dan juga melalaikan. Projek IslamicTunes ciptaan startup tempatan merupakan laman hiburan serta gedung yang menyertakan lagu serta kandungan interaktif yang mematuhi syariah.

Layari: IslamicTunes

Pickld

Mungkin pada zaman digital ini, tabiat menulis pada diari semakin dilupakan, dan diganti dengan aplikasi seperti Twitter dan Instagram. Aplikasi PickId ciptaan startup dari Filipina ini merupakan aplikasi diari bergambar, dimana pengguna hanya perlu memuat naik 8 gambar setiap hari, dan gambar ini akan dijadikan seumpama diari.

Layari: PickId

Small Courses

smallcourses-400x150-c-default

Generasi masa kini sememangnya mempunyai tahap konsentrasi dan kesabaran yang makin menipis. Mereka sentiasa inginkan sesuatu perkara yang pantas. Startup dari Cambodia ini menghasilkan kandungan video yang sesuai untuk peranti mudah alih dimana subjek pelajaran disampaikan pada masa yang singkat khusus untuk generasi sekarang.

SPOT News

screenshot_648

Kini pelbagai aplikasi yang memudahkan pembacaan berita untuk pengguna. Aplikasi SPOT News ciptaan pembangun tempatan yang pernah popular dengan AtticTV ini merupakan aplikasi yang akan memilih berita-berita penting disekitar Asia Tenggara dan turut menyenaraipendek berita tersebut bergantung kepada negara dan juga pilihan bahasa pengguna.

Layari: SPOT News 

 


Kategori SaaS (Software-as-a-Service)

AzStack

AZStack dari Vietnam sedang membangunkan platform komunikasi terbuka, membolehkan perusahaan besar menggunakan aplikasi mereka sebagai aplikasi perhubungan untuk kegunaan pejabat. Aplikasi yang dicipta mereka juga menggunakan kod natif, dan menjamin kesesuaian aplikasi tersebut pada pelbagai platform.

Layari: AzStack[info]

Cloudjet Solutions

MaGIC MAP -IMG_7793

Bagi memantau prestasi pekerja, terkadang tidak mencukupi dari pemantauan secara biasa. Cloudjet Solutions menyediakan perkhidmatan berasaskan awan membolehkan pemilik perniagaan untuk memantau prestasi pekerja dengan mudah, dan lengkap.

[info]Cloudjet Solutions

DNSVault

MaGIC MAP -IMG_7795

Bagi perusahaan besar, DNS (Domain Name Server) merupakan salah satu aset terpenting. Sekuriti DNS perlu dijaga dengan rapi bagi mengelakkan serangan pengganas siber baik dari pencerobohan ataupun pemalsuan. Startup tempatan ini menyediakan perkhidmatan sebegini dan sehingga kini telah digunakan oleh pelbagai nama besar tempatan dan harga perkhidmatan tersebut adalah jauh lebih murah dari perkhidmatan lain.

Layari: DNSVault[info]

Gamurai

MaGIC MAP -IMG_7798

Startup yang berasal dari Singapura ini hadir dengan sistem pengurusan salun rambut yang dikenali sebagai Veon Hair Experience. Terdapat tiga solusi yang ditawarkan untuk pengusaha salun rambut. Pengusaha salun rambut berupaya untuk mengetahui trend terkini dengan mudah, dan pengguna boleh memilihnya menerusi rajah grafik. Turut serta adalah perisian pengurusan syarikat salun dan juga cawangan salun rambut dalam satu rangkaian.

[info] Layari: Veon Hair Experience

SecondCRM

MaGIC MAP -IMG_7799

CRM merupakan singkatan kepada Customer Relationship Manager, ataupun pengurusan perhubungan pelanggan. SecondCRM merupakan perkhidmatan berasaskan awan memudahkan pemilik perniagaan menguruskan data serta maklumat pelanggan mereka.

SecondCRM

SimiCart

MaGIC MAP -IMG_7802

Mungkin pada masa kini kebanyakan pemilik perniagaan telahpun mempunyai gedung kedai atas talian membolehkan pembelian dilakukan menerusi laman web. SimiCart menawarkan lebih dari itu, membolehkan pemilik perniagaan mencipta aplikasi mudah alih secara natif untuk kedai atas talian mereka menerusi paparan tetapan yang mudah buat peniaga.

SimiCart


Kategori Peranti

BorderPass

MaGIC MAP -IMG_7805

Jika anda kerap dihantar ke negara serantau atas urusan kerja, salah satu perkara yang melecehkan adalah urusan untuk mengisi borang imigresen. Startup tempatan BorderPass telah mencipta pintu automatik yang menggunakan pengesanan wajah dan biometrik, sekaligus memudahkan urusan imigresen. Sistem mereka juga berupaya membezakan kembar seiras dan mengecam wajah walaupun pelawat menggunakan aksesori yang mungkin mengubah penampilan, seperti memakai topi. Untuk pada masa akan datang, pintu ini juga akan didatangkan dengan pengesan telapak tangan.

Layari: BorderPass[info]

DF Automation & Robotics

MaGIC MAP -IMG_7806

Dunia automasi dan robotik merupakan salah satu cabang yang semakin berkembang pesat. Malah Google sendiri telah membeli 7 syarikat yang bergiat didalamnya. Startup tempatan ini hadir dengan ciptaan robotik yang membolehkan barangan kargo kecil dibawa olehnya. Sistem automasi sebegini juga telahpun digunakan di kilang-kilang tempatan antaranya Western Digital, dan juga ada di restoran sebagai pelayan sushi.

[info] Layari: DF Automation & Robotics

Katsana

MaGIC MAP -IMG_7808

Tahukah anda Malaysia antara negara tertinggi yang mengalami kes kecurian kereta? Katsana yang diwujudkan pada awalnya bertujuan untuk memantau lokasi kenderaan, kini hadir dengan fungsi terbaru dinamakan Katsana Insight. Menerusi maklumat pemanduan yang diperoleh, data berkenaan perangai pemandu turut diperolehi membolehkan data tersebut digunakan bagi tujuan insurans.

Layari: Katsana

PLink

MaGIC MAP -IMG_7811

Arena peranti berhubung dengan internet (IOT-Internet of Things) merupakan salah satu arena yang makin popular. Salah satu startup dari Filipina ini telah hadir dengan aplikasi mudah alih membolehkan pengguna melakukan pemantauan serta pengurusan elektrik di rumah dan juga dipejabat. Menggunakan aplikasi ini dan juga palam kuasa mereka, pengguna boleh memastikan penggunaan elektrik di rumah atau dipejabat mereka berada di tahap optimum.

Tanimac

MaGIC MAP -IMG_7813

Dalam pelbagai startup tempatan yang hadir pada acara ini, Tanimac merupakan startup yang memfokuskan kepada pertanian. Menerusi ciptaan mereka, petani boleh mempercepatkan proses semaian, dimana dalam masa 1 minit petani boleh menyemai sehingga 108 benih pada satu masa. Ini sekaligus menjimatkan masa semaian, dan petani juga boleh menyemai benih dengan lebih banyak dan pantas.

Layari: Tanimac

Trouver

MaGIC MAP -IMG_7815

Saban hari keselamatan peribadi merupakan salah satu faktor utama. Ibu bapa sentiasa mencari solusi memastikan lokasi anak mereka. Trouver merupakan salah satu peranti yang senantiasa berhubung dengan internet pada masa nyata, dan mampu menjejak lokasi pengguna atau barang yang dilekatkan dengan peranti ini.

Layari: Trouver


Kategori Aplikasi Mudah-alih

Mobile9

MaGIC MAP -IMG_7817

Mobile9 merupakan startup tempatan yang bergiat dalam gedung aplikasi mudah alih pihak ketiga. Startup yang dilancarkan pada tahun 2013 sehingga kini mempunyai lebih dari 15 juta pengguna aktif di seluruh dunia, dan lebih popular di negara lain seperti India, Thailand dan banyak lagi. Selain dari aplikasi, mereka juga turut menyediakan kandungan interaktif dan multimedia yang pelbagai.

Layari: Mobile9

MoneyLover

MaGIC MAP -IMG_7819

Startup yang berasal dari Vietnam ini telah menghasilkan aplikasi yang berupaya menguruskan urusan kewangan pengguna. Salah satu kelainan yang dibawakan mereka adalah aplikasi mereka juga turut mempunyai integrasi dengan khidmat perbankan yang lain.

Layari: Moneylover

MyStay

MaGIC MAP -IMG_7823

Komunikasi diantara hotel dan juga tetamu merupakan salah satu perkara yang sangat penting, malah boleh menambah lebih keuntungan dari hotel kepada tetamu. Tetamu yang dilayan dengan baik semestinya menginginkan sesuatu dari hotel. Aplikasi MyStay yang dicipta dari startup berasal dari Republik Czech ini membantu syarikat perhotelan untuk hadir dengan aplikasi khusus untuk hotel mereka, dan memudahkan mereka berhubung dengan tetamu.

Layari: MyStay

Qur’an Academy

MaGIC MAP -IMG_7824

Startup ini merupakan startup yang paling jauh dari Malaysia. Mereka berasal dari Amerika Syarikat, dan hadir dengan aplikasi untuk memudahkan proses hafalan al-Quran. Menerusi aplikasi mereka, pengguna dapat mengetahui ayat-ayat yang mereka sukar untuk menghafal dan ia turut disertakan dengan analisis pintar terhadap pengguna.

Layari: Qur’an Academy[info]

TableApp

MaGIC MAP -IMG_7825

Antara startup terawal yang merevolusikan tempahan meja makanan di pasaran tempatan, Tableapp merupakan aplikasi membolehkan pengguna menempah meja makan dengan mudah di restoran ternama. Meskipun telah menerima dana yang besar, mereka kini giat dalam meluaskan rangkaian restoran yang disokong mereka di negara lain.

[info] Layari: TableApp

Wonderlist

MaGIC MAP -IMG_7827

Apabila ingin mencari hartanah dan juga rumah sewa, banyak laman web yang boleh dilawati dan digunakan. Aplikasi Wonderlist lebih memfokuskan sebagai laman sosial untuk komuniti mencari rumah serta boleh berunding mengenai kadar sewa dan juga harga hartanah tersebut.

Layari: Wonderlist


 

Untuk kesemua startup yang telah mempersembahkan projek mereka, pihak MaGIC berharap ia tidak akan berakhir disini. MaGIC juga mempunyai program kesinambungan dimana perkembangan mereka akan dipantau, dan sekiranya terdapat sebarang pelabur dan entiti berminat keatas startup tersebut, MaGIC akan membantu dalam menghubungkan mereka. Sehingga kini, MaGIC telahpun mengenalpasti 500 pelabur yang ingin melabur pada startup, dimana 50% daripadanya adalah warga tempatan.


TIPS & ULASAN