Microsoft sebelum ini telah berkongsi perancangan untuk memudahkan para pembangun membawa aplikasi mereka dari platform Android dan iOS ke platform Windows dengan mudah. Terkini ia dilaporkan yang mana Microsoft menangguhkan usaha untuk memudahkan proses membawa aplikasi Android ke Windows, sebaliknya mengekalkan penawaran untuk iOS ke Windows.
Projek yang dinamakan sebagai Project Astoria ini dilihat senyap sahaja akhir-akhir ini, malah Microsoft telah membuat beberapa subsistem Android pada versi akhir Windows 10 Mobile. Microsoft dilaporkan “menangguhkannya” kerana masalah berkaitan sekuriti, prestasi sistem operasi – dan juga kerisauan berkaitan aplikasi haram.
Ia tidak diketahui lagi sama ada pihak Microsoft hanya sekadar menangguhkannya sahaja atau membatalkannya terus. Walaubagaimanapun, sokongan untuk pembangun port aplikasi iOS ke platform Windows masih disokong buat masa ini.
Sebelum ini, Microsoft telah memilih memperkenalkan Project Astoria ini dalam usaha untuk menambah bilangan aplikasi yang ditawarkan untuk platform Windows.
Bercakap mengenainya, pihak Microsoft mengatakan yang mana Project Astoria masih tidak lengkap lagi buat masa ini – dan mereka komited dalam memudahkan pembangun membawa aplikasi web dan iOS mereka ke platform Windows.