Facebook dan Google boleh dikatakan tidak begitu selari dalam arena carian sebelum ini. Namun, ia kini berubah apabila Facebook akhirnya membuka pintu mereka, membolehkan Google untuk mengindex beberapa halaman awam pada Facebook untuk carian mudah-alih.
Melalui kerjasama kedua-dua pihak ini, kini carian Google yang dilakukan pada peranti mudah-alih seperti telefon pintar akan memaparkan informasi dan kandungan daripada aplikasi Facebook – termasuk berkaitan profil awam, Facebook Pages, Groups, Events dan sebagainya.
Hasil carian yang dipaparkan pada Google akan menggunakan konsep deep-link, dimana apabila pengguna tap pada hasil carian berkenaan, ia akan secara automatik membawa pengguna kepada aplikasi Facebook.
Walaubagaimanapun, kandungan berbentuk peribadi yang memerlukan pengguna log masuk terlebih dahulu tidak akan dipaparkan pada carian Google.
Kerjasama ini dilihat akan menguntungkan kedua-dua pihak, dimana Google dapat mengindex lebih banyak kandungan daripada Facebook, sementara pihak Facebook pula boleh menarik pengguna daripada enjin carian Google untuk kekal dalam menggunakan aplikasi mereka.