Carian
Persatuan Pemandu Teksi Menyaman Bandaraya New York Kerana Membenarkan Uber Beroperasi
November 18, 2015 Effi Saharudin

Pertelingkahan di antara Uber dan pemandu teksi di ibu negara sudah berlarutan sejak awal tahun ini. Sejak kebelakangan ini pemandu teksi lebih agresif dalam menghalang pemandu Uber dari mengambil penumpang. Mereka turut menggunakan aplikasi ini untuk memerangkap pemandu Uber sebelum diserahkan ke pihak berkuasa. Sudah berlaku juga kes salah faham di mana individu yang cuba mengambil teman di Kuala Lumpur dituduh pemandu Uber sehingga menjadi kes polis. Sebuah demo anti Uber dan Grabcar dianjurkan di Padang Merbok pagi tadi yang menggesa pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar untuk meletakkan jawatan kerana gagal menghalang dua perkhidmatan ini dari mengganggu periuk nasi mereka.

UberX KL

Masalah pemandu teksi dan Uber ini bukanlah masalah yang hanya berlaku di negara kita. Persatuan pemandu teksi dan limosin New York hari ini memfailkan saman ke atas Bandaraya New York dan Suruhanjaya Teksi dan Limosin kerana membenarkan Uber beroperasi. Mereka merasakan adalah tidak adil pemandu teksi perlu memenuhi pelbagai syarat untuk beroperasi seperti mempunyai teksi yang mesra pengguna OKU. Syarat yang sama tidak perlu dipatuhi oleh pemandu Uber. Ini meningkatkan kos operasi mereka dan menyebabkan mereka gagal bersaing dengan Uber. Sejak Uber mula beroperasi 22 syarikat teksi di New York terpaksa gulung tikar kerana mengalami kerugian. Nilai saman yang diminta tidak pula diberitahu.

Komen